Warga Rohingya didakwa cabul pelajar lelaki

Seorang mudir di sebuah pusat tahfiz khas untuk etnik Rohingya didakwa atas pertuduhan mencabul seorang pelajar pada awal bulan ini di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu pada Isnin.
Seorang mudir di sebuah pusat tahfiz khas untuk etnik Rohingya didakwa atas pertuduhan mencabul seorang pelajar pada awal bulan ini di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang mudir di sebuah pusat tahfiz khas untuk etnik Rohingya didakwa atas pertuduhan mencabul seorang pelajar pada awal bulan ini di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Kanak-kanak lelaki daripada etnik tersebut berusia 11 tahun tiga bulan.

Tertuduh, Abu Toyub Umor Abbas, 58, yang dalam keadaan menangis teresak-esak bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga merupakan etnik Rohingya didakwa dengan maksud seksual telah mencabul kanak-kanak terbabit.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di dalam bilik di sebuah pusat tahfiz khas di Kampung Patek Talang, Kadok sekitar jam 3 pagi, pada 1 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, Rozihan Othman.

Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh merupakan seorang warga asing yang mencari suaka atau tempat berlindung di negara ini.

“Meskipun memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), tertuduh didapati memasuki negara ini secara haram selain tiada sebarang rekod keluar dan masuk selepas berada di sini.

“Jadi, kemungkinan besar tertuduh boleh melarikan diri atau mengganggu kanak-kanak itu selepas mengambil kira hubungannya dengan mangsa adalah guru dan pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Rozihan dalam rayuannya memohon ikat jamin kerana jaminan hanya untuk menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Selain itu, tertuduh yang sudah membuka pusat tahfiz di Kadok sejak lima tahun lalu itu juga perlu menyara seorang isteri dan seorang anak.

“Sekiranya tertuduh melarikan diri, wang ikat jamin yang dibayar masih selamat di dalam jaminan pihak mahkamah. Jadi, saya pohon satu jaminan dibenarkan kepada tertuduh,” katanya.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 17 Mei depan untuk sebutan semula kes dan lantikan jurubahasa etnik Rohingya.