KWSP: Kerajaan dicadang guna konsep pelunasan

Gulam Muszaffar - Foto UMNO Online
Gulam Muszaffar - Foto UMNO Online
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang untuk menggunakan konsep pelunasan atau 'amortization' bagi menyelesaikan polemik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang masih berlanjutan.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, kaedah tersebut boleh diamalkan untuk mengimbangi antara isu sosial yang mendesak dengan mikro ekonomi negara.

Beliau berkata, rakyat misalnya hanya dibenarkan mengeluarkan duit daripada KWSP bergantung jumlah yang akan terkumpul dalam akaun dua bermula dari tarikh permohonan sehingga berumur 55 tahun.

"Ini bermaksud duit yang tersimpan sebelum ini tidak boleh disentuh bagi simpanan hari tua.

"Konsep ini juga akan terhenti sekiranya kakitangan berkenaan berhenti sebelum tempoh umur 55 tahun," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Bekas Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, lebih mudah jika orang ramai dibenarkan mengeluarkan simpanan KWSP secara terus daripada menggunakannya sebagai fasiliti sokongan untuk memohon pinjaman bank.

Menurutnya, ia berikutan peminjam akan dibebani dengan bayaran faedah yang dikenakan ke atas pinjaman itu.

Sementara itu, Gulam Muszaffar berkata, berdasarkan kenyataan Johari, kerajaan jelas tidak boleh menyatukan isu kehendak sosial dan ekonomi bagi tujuan tersebut.

Ujarnya, keadaan itu bukan sahaja tidak seimbang, malah boleh merosakkan ekosistem kehidupan rakyat bagi tempoh jangka panjang.

"Mungkin kerajaan perlu mencari kaedah lain daripada terus membebankan rakyat sekiranya mengeluarkan wang KWSP atas konsep pinjaman," katanya.

Mengulas lanjut mengenai amalan konsep pelunasan, jelas Gulam Muszaffar, KWSP sendiri perlu mempunyai mekanisme dan lembaga khas untuk menguruskannya.

Tambahnya, ia tidak boleh diserahkan kepada pihak bank semata-mata untuk mengelakkan kos pengurusan dan faedah yang tinggi dikenakan.

"Secara tidak langsung KWSP sebenarnya melabur ke atas pencarum-pencarumnya sendiri yang lebih menguntungkan. Ibarat 'left to right pocket approach'.

"Apa-apa pun ini hanya pandangan dua sen saya sahaja untuk menyokong kenyataan Johari Ghani," jelasnya.