[VIDEO] Syamsul, Puteri Sarah setuju cerai 18 April ini

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Isnin, menetapkan prosiding kes lafaz cerai pengarah, Syamsul Yusof terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah pada 18 April ini.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, memaklumkan Syamsul dan anak guamnya, telah mencapai persetujuan untuk membubarkan perkahwinan mereka secara baik serta aman.
Bagaimanapun beliau berkata, terma-terma penyelesaian hanya akan dimaklumkan pada tarikh tersebut, antaranya menyentuh isu hadanah, nusyuz, mutaah, nafkah, idah dan harta sepencarian.
Ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas berhubung status Jawatankuasa Pendamai (JKP), Akberdin berkata, pasangan itu telah berjumpa dan berbincang tentang permohonan isu-isu lain termasuk permohonan cerai.