Paip air pecah bukan sebab aktiviti korek pasir

Mohammad Nizar (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima ketika Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama Kerajaan Negeri Perak di Dewan Carsem, Maju Rapat di sini pada Ahad.
Mohammad Nizar (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima ketika Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama Kerajaan Negeri Perak di Dewan Carsem, Maju Rapat di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak menafikan dakwaan kejadian paip pecah Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang, Bota yang menyebabkan hampir 80,000 pengguna terjejas disebabkan aktiviti pengorekan pasir di kawasan berhampiran.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, sebaliknya kejadian tersebut berlaku akibat pergerakan tanah di mukasauk di LRA berkenaan.

Menurutnya, tebing sungai yang rebak mengakibatkan paip terselindung di bawah tanah itu pecah sekali gus menjejaskan pengguna di daerah Perak Tengah dan Manjung.

"Di sekitar rumah pam LAP (Lembaga Air Perak) itu tidak ada usaha-usaha menggali pasir tetapi berlakunya putus paip itu kerana pergerakan tanah yang rebak daripada benteng sungai masuk ke sungai.

"Kalau ada aktiviti mengenal mengorek pasir, pasti kejadian ini dapat dikesan awal daripada apa yang berlaku pada 31 Mac lalu, tapi benteng sungai yang rebak ini tak dapat kita duga," katanya kepada pemberita selepas Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama Kerajaan Negeri Perak di Dewan Carsem, Maju Rapat di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya aktiviti pengorekan pasir di sepanjang Sungai Perak menyebabkan kejadian itu berlaku.

Sementara itu, Mohammad Nizar memberi jaminan bahawa bekalan air menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak akan terganggu terutama kawasan yang terjejas sebelum ini kerana bekalan telah pulih 100 peratus.

Pada 31 Mac lalu, sebanyak 79,360 akaun pengguna di daerah Manjung dan Perak Tengah mengalami gangguan bekalan air selepas paip bagi menyalurkan air bersih terputus.

Gangguan itu melibatkan kawasan Pangkor, Lumut, Seri Manjung, Sitiawan, Ayer Tawar dan seluruh Lekir ke Kayan di daerah Manjung.

Di daerah Perak Tengah pula melibatkan kawasan Seberang Perak, Changkat Lada, Kampong Gajah, Bukit Chawi, Simpang Ranggam dan Hujung Rintis.