Tempoh bertenang di Sabah sehingga PRN akan datang - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Sabah di Masjid Kampung Benoni, Papar.
Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Sabah di Masjid Kampung Benoni, Papar.
A
A
A

PAPAR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu supaya tempoh bertenang yang disarankan sebelum ini diteruskan bagi mewujudkan situasi yang stabil di Sabah sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, kerajaan perpaduan yang wujud di kerajaan Pusat dan juga Sabah terjalin dengan erat bukan saja diterjemahkan menerusi peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi juga penting dalam hubungan antara parti yang mendokong kerajaan Perpaduan terutama di negeri ini.

"Kita dulunya berada di dalam fasa yang tenang atau di dalam tahap ketenangan. Kita terus berhasrat untuk mewujudkan situasi yang tenang itu antara pelbagai parti di Sabah ini.

"Untuk UMNO sendiri saya telah memberitahu rakan-rakan saya daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh mengugat perasaan atau mengguris hati mana-mana pihak.

"Terdapat beberapa langkah penyelesaian dilakukan dan kita mencari kaedah-kaedah yang terbaik supaya kerajaan yang ada di Sabah ini terus dikekalkan sehingga PRN akan datang," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Sabah di Masjid Kampung Benoni, di sini pada Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanapun berkata, pada masa sama beliau turut mengharapkan agar jawatan yang diberikan dikekalkan seperti yang telah dipersetujui.

"Itulah azam kami, itulah apa yang telah ditandatangani antara kami dengan mereka dan ini harus dikekalkan.

"Tetapi pada waktu yang sama kita juga mengharapkan agar jawatan-jawatan sama ada dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kerajaan tempatan atau ketua kampung hendaklah terus dikekalkan sebagaimana yang dipersetujui dan kita tidak mahu adanya penukaran disebabkan perkara-perkara yang menjadi titik bengik antara Semenanjung dan juga Sabah," katanya.