Pastikan kegiatan lombong REE di Hutan Simpan Kekal tidak diluluskan

Kegiatan meneroka REE secara haram didakwa dikesan di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik. Gambar kecil: Meenakshi
Kegiatan meneroka REE secara haram didakwa dikesan di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik. Gambar kecil: Meenakshi
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim harus memastikan kerajaan Kedah tidak meluluskan kegiatan perlombongan sumber mineral unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, aktiviti perlombongan dan kuari dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) boleh menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas.

Menurutnya, penerokaan hutan berkenaan juga akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

“SAM harap kementerian berkaitan akan menasihati kerajaan negeri supaya tidak meluluskan kegiatan perlombongan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang.

“Walaupun Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Senarai II dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan memperuntukkan hal ehwal hutan bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun kerajaan Persekutuan boleh memberi nasihat agar segala dasar, ketetapan dan komitmen berkaitan hal ehwal hutan yang diputuskan di peringkat Persekutuan diguna pakai di peringkat negeri,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Meenakshi berkata, SAM turut kesal dengan kenyataan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam akhbar tempatan pada 22 Mac lalu, bahawa kerajaan Kedah tidak melakukan kesalahan dan berhak memberi kelulusan cari gali dan penjelajahan mineral REE di Hutan Simpan Bukit Enggang.

“Mengikut Seksyen 2, Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan seksyen sama Akta Perhutanan 1984 (Akta 313) serta ketetapan dalam Mesyuarat Petugas Khas Bagi Mengkaji Kesan Pengeluaran Lanthanum Dalam Hutan Simpanan Kekal Terhadap Dirian Hutan Bil 1/2020, pada September 2020 ternyata sumber mineral REE tidak termasuk dalam tafsiran hasil hutan.

“Oleh itu sekiranya Kedah berhasrat untuk meluluskan kegiatan perlombongan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, ia jelas menjadi suatu kesalahan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, ia juga tidak selari dengan kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 22 Mac yang mengatakan salah satu komitmen Malaysia menguruskan hutan secara mampan ialah tidak mengeluarkan ‘Operational Mining Scheme’ (OMS) bagi tujuan kegiatan perlombongan dalam Hutan Simpanan Kekal, Kawasan Perlindungan dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

“Disebabkan itu, SAM mengulangi gesaan yang diputuskan Majlis Tanah Negara (MTN) semasa Mesyuarat MTN ke-70 pada 2014, supaya semua kerajaan negeri mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelak kelulusan kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam HSK,” jelasnya.

Pada Mac, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memaklumkan Kedah tidak melakukan kesalahan dalam memberikan kelulusan untuk melaksanakan kegiatan pengambilan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, kerana aktiviti tersebut di bawah kuasa pihak berkuasa negeri (PBN) melalui Enakmen Mineral Negeri masing-masing untuk memberikan kelulusan bagi aktiviti cari gali dan penjelajahan.

Sementara Nik Nazmi pada 21 Mac memberitahu, tiada laporan penilaian alam sekeliling (EIA) dikeluarkan bagi aktiviti perlombongan REE di Kedah susulan kerajaan negeri belum mengemukakan laporan EIA kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pada 11 Januari lalu, Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd dan Xiamen Tungsten Co. Ltd. bagi penerokaan REE.

Pada Oktober lepas, kerajaan negeri mengesahkan berlakunya kegiatan mencuri REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, namun tidak membabitkan kerajaan negeri atau syarikat Prospek Suria Sdn Bhd yang diberi lesen eksplorasi mengkaji potensi mineral itu.