Masalah surat beranak selesai

Mas Ermieyati (dua dari kanan) dan Norazlee (kiri) ketika menyerahkan surat beranak kepada 12 ahli keluarga yang selama ini tidak pernah mendaftarkan kelahiran anak mereka di JPN. (blur muka)
Mas Ermieyati (dua dari kanan) dan Norazlee (kiri) ketika menyerahkan surat beranak kepada 12 ahli keluarga yang selama ini tidak pernah mendaftarkan kelahiran anak mereka di JPN. (blur muka)
A
A
A

ALOR GAJAH - Usaha Sinar Harian memaparkan kisah tiga dari lima beradik yang tidak bersekolah di sebuah Kampung di Masjid Tanah kerana tiada surat beranak telah membongkar kisah tujuh sepupu mereka yang turut mengalami nasib sama.

Mereka yang berusia antara 10 hingga 20 tahun itu dipercayai tidak mempunyai surat beranak kerana kegagalan ibu bapa mereka mendaftarkan kelahiran masing-masing akibat masalah tidak sah taraf.

Masalah mereka dikesan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika mendapatkan maklumat berhubung tiga beradik yang tidak bersekolah sebelum itu.

Kesemua mereka dipercayai tinggal berasingan yang mana lima daripadanya menumpang di rumah sepupu mereka manakala dua yang lain tinggal di rumah lain.

Mereka dipelihara oleh tiga ibu yang berbeza.

Kini, kesemua mereka sudah memiliki surat beranak masing-masing.

Salah seorang kanak-kanak tersebut yang kini berusia 15 tahun berkata, dia bersyukur kerana akhirnya memiliki dokumen yang amat berharga itu.

Katanya, ketiadaan dokumen berkenaan menyukarkannya untuk melakukan pelbagai urusan seharian.

Artikel Berkaitan:

"Nak bawa bawa ibu ke hospital pun susah sebab tak ada surat beranak," katanya pada majlis penyerahan surat beranak oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Masjid Tanah semalam.

Hadir sama, Pengarah JPN Norazlee Sulaiman.

Menurutnya, memiliki dokumen berkenaan merupakan petanda positif dua adiknya yang masing-masing berusia 9 dan 13 tahun akan bersekolah.

"Saya tahu membaca sebab ibu ada membelikan kami buku-buku mengenal abjad.

"Impian saya nak sekolah sebab banyak lagi yang boleh saya belajar dan adik-adik sebelum ini memang teruja mahu ke sekolah," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tiga beradik di sebuah kampung di Masjid Tanah menyatakan hasrat mahu ke sekolah tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana tiada pengenalan diri.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, pihaknya sedia maklum mengenai masalah keluarga itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama bagi menyelesaikan masalah berkenaan, terutamanya JAIM dan JPN.

"Penyerahan surat beranak adalah sebagai titik permulaan dan sinar baharu kepada keluarga besar itu supaya kanak-kanak itu dihantar bersekolah agar tidak keciciran. "Bagi yang tidak bersekolah pula kami akan berusaha sedaya upaya membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga berbesar hati menanggung keseluruhan kos pendaftaran dokumen berkaitan berjumlah lebih RM600 kerana sedia maklum dengan keadaan ekonomi keluarga berkenaan yang serba kekurangan.

"Kita telah mengetahui kes ini sekian lama dan telah dipanjangkan ke pihak berkenaan mungkin disebabkan beberapa prosedur menyebabkan proses dokumentasi itu mengambil sedikit masa.

"Saya harap mereka akan didaftarkan sekolah dan kita di peringkat Parlimen akan berusaha membantu apa yang diperlukan termasuk bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya mereka tidak pernah dipinggirkan terutamanya daripada senarai bantuan perayaan," katanya.

Tambahnya, kisah keluarga itu yang ramai tidak memiliki dokumentasi seharusnya dijadikan iktibar dan apa jua yang berlaku termasuk status anak bukan penghalang untuk ibu bapa mendaftarkan anak mereka di JPN.

Dalam pada itu, Norazlee berkata, kes seperti dialami keluarga berkenaan termasuk daftar lewat kelahiran sentiasa berlaku di Melaka.

Sehubungan itu, beliau menyarankan ibu bapa supaya mengambil perhatian untuk mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka dalam tempoh 60 hari.

Tambahnya, tujuannya adalah untuk mengelakkan mereka dikenakan tindakan.

"Proses surat beranak telah selesaikan dan bagi mereka berusia 12 tahun ke atas kita bantu untuk memohon MyKad kerana mereka adalah warganegara Malaysia," katanya.