Tiada konflik kepentingan rayuan pengampunan Najib - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program Kita-Untuk-Kita (K2K) di PPR Kampung Baru Hicom Seksyen 26 hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program Kita-Untuk-Kita (K2K) di PPR Kampung Baru Hicom Seksyen 26 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan tiada konflik kepentingan kepada kerajaan berhubung pengampunan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Anwar berkata, perkara itu tidak seharusnya berbangkit memandangkan proses permohonan pengampunan dibenarkan untuk dibuat oleh sesiapa sahaja.

"Ia boleh dibawa tetapi tentunya kita akan patuh peraturan dan syarat ditetapkan. Walaupun saya ada dalam proses tersebut namun akhirnya soal penganugerahan pingat dan pengampunan berkenaan wewenang dan budi bicara Yang di-Dipertuan Agong.

"Jadi tidak perlu kita bahaskan secara awam kerana proses itu mesti dilalui. Saya belum lihat apa-apa lagi proses yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas Program Kita-Untuk-Kita (K2K) di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah membuat ketetapan untuk merayu pengampunan bagi Najib daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat pada mesyuarat bulanan MKT UMNO yang berlangsung pada Jumaat.

Sementara itu, Anwar berkata, masih terlalu awal untuk beliau memberikan sebarang ulasan memandangkan tiada sebarang kertas atau proses yang dilaksanakan setakat ini untuk permohonan berkenaan kecuali keputusan yang dibuat diperingkat UMNO.

"Mereka yang dikenakan sabitan mempunyai hak untuk merayu. Saya tidak mahu menghalang sesiapa dalam perkara berkenaan.

"Tetapi segala proses di mahkamah perlu diikuti dan dihormati. Keputusan akhir sekali adalah dibuat sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong," ujarnya.