UMNO akan rayu pengampunan Najib

Najib
Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah membuat ketetapan untuk merayu pengampunan bagi bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat pada mesyuarat bulanan MKT UMNO yang berlangsung pada Jumaat.

“Setelah diperincikan, MKT UMNO merafak sembah menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda dengan kerendahan diri, memohon ihsan Tuanku untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat Datuk Seri Najib sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Kami juga bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong berserta dengan memorandum yang ditandatangani oleh seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 bahagian termasuk Wanita dan sayap-sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Asyraf, MKT UMNO mengambil maklum rasa dukacita dan keresahan ahli-ahlinya di akar umbi terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara berhubung dengan kes SRC.

Keresahan itu katanya, berdasarkan keputusan yang dilihat tidak adil, seiring dengan kenyataan penghakiman yang dizahirkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau turut menyatakan bahawa Ahli Parlimen Pekan itu tidak mendapat perbicaraan yang adil dan wajar dibebas dan dilepaskan.

“MKT juga telah menerima memorandum daripada 191 bahagian termasuk Wanita dan sayap-sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri yang memohon agar kepimpinan tertinggi UMNO membela bekas Presiden dan Perdana Menteri yang banyak jasanya kepada rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi turut memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO 2023 akan diadakan pada 7 hingga 10 Jun depan.