UMK jalin kerjasama dengan tujuh syarikat gergasi

Prof Ts Dr Arham (empat dari kanan) bersama kesemua wakil syarikat yang menandatangai MoU dengan UMK.
Prof Ts Dr Arham (empat dari kanan) bersama kesemua wakil syarikat yang menandatangai MoU dengan UMK.
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus berusaha meningkatkan lagi tahap kebolehpasaran graduan menerusi perjanjian persefahaman (MoU) dengan tujuh syarikat gergasi antaranya Sunway Theme Parks dan Skytrex Sdn Bhd.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts Dr Arham Abdullah berkata, MoU melalui Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan UMK itu akan memberi manfaat kepada 2,700 penuntut di bawah tiga pengkhususan iaitu Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Perlancongan, Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Hospitaliti dan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Kesejahteraan.

Beliau berkata, kerjasama strategik tersebut melibatkan pelaksanaan Program Apprentice 3U1I iaitu tiga tahun pendidikan secara teori di universiti dan setahun latihan praktikal di industri.

“Program bermula tahun 2019 dengan 16 penuntut menjalani latihan di Gerbang Alaf Sdn Bhd (McDonalds) dan sudah tamat pengajian serta satu bonus apabila diserap terus bekerja di syarikat itu. Program memasuki fasa dua dengan 90 penuntut sedang menjalani latihan industri.

“Berbanding tempoh asal empat bulan, penuntut yang menjalani latihan industri selama setahun berkelebihan dan mendapat keyakinan tinggi daripada pihak majikan sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan UMK,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani MoU di UMK Kampus Kota, di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, MoU turut melibatkan syarikat-syarikat terkemuka dalam industri pelancongan dan perhotelan seperti Holiday Villa Hotels & Resort Sdn Bhd serta Hotel Seri Malaysia.

“Kami juga menandatangani MoU bersama JDMas Commerce Sdn Bhd, Big Onian Food Caterer Sdn Bhd dan Hitfat Functional Gym.

“Kerjasama ini memberi manfaat kepada kedua-dua belah dengan majikan juga memperoleh tenaga kerja dalam kadar bayaran elaun serendah RM500 sehingga RM1,000 sebulan selain dapat berkongsi kepakaran bagi memantapkan kemahiran penuntut sebelum graduasi,” katanya.

Beliau menambah, UMK sudah melaksanakan 141 MoU dan memorandum perjanjian (MoA) dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

“UMK mempunyai 12,000 penuntut dan kebolehpasaran graduan berada pada tahap 90 peratus pada setiap tahun.

“Ketika ini, permintaan pihak hotel semakin meningkat selepas pandemik Covid-19 dan akan memberi peluang lebih cerah kepada para graduan,” katanya.