KDN perkemas kaedah pendaftaran pelarian

Saifuddin Nasution ketika sidang akhbar selepas menghadiri majlis berbuka puasa Jabatan Penjara Malaysia pada Khamis.
Saifuddin Nasution ketika sidang akhbar selepas menghadiri majlis berbuka puasa Jabatan Penjara Malaysia pada Khamis.
A
A
A

KAJANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam proses memperkemaskan kaedah pendaftaran pelarian yang berada di negara ini termasuk pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perancangan itu diputuskan hasil mesyuarat antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Khamis.

"Kita membincangkan berkaitan pengurusan pelarian, kita turut menyentuh status UNHCR dan bidang kuasanya dalam menguruskan isu pelarian," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis berbuka puasa Jabatan Penjara Malaysia di sini pada Khamis.

Saifuddin Nasution berkata, bagaimanapun pada masa ini pihaknya tidak mempunyai angka yang tepat berkaitan pelarian berkenaan.

"Kita (KDN) telah mendapat nasihat dan hala tuju daripada Perdana Menteri dalam beberapa perkara berkaitan pengurusan pelarian.

"UNHCR akan memberikan maklumat terperinci berkaitan pelarian melalui kaedah pendaftaran mereka kerana UNHCR mempunyai beberapa laporan yang tidak kita miliki," katanya.

Saifuddin berkata, beberapa perbincangan bersama Perdana Menteri akan dibuat sebelum keputusan secara rasmi diputuskan dalam kerangka berkaitan keselamatan, pelarian yang ada dalam negara ini serta kemasukan pelarian dari Myanmar.

"Pelarian akan datang ke negara ini selagi wujud keadaan mendorong atau terdesak (push factor) dari negara serantau.

"Mereka (pelarian) datang ke Malaysia bukan sebagai transit sebaliknya mereka datang sebagai destinasi kerana mempunyai daya tarikan tersendiri," katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, KDN secara dasarnya bertanggungjawab untuk menguruskan depoh imigresen bagi mengawasi pelarian.

"Malah kita juga menerusi pihak berkuasa sentiasa berusaha dan mempertingkatkan kawalan maritim negara bagi mengelak dibolosi pelarian," katanya.