'Benar mahasiswa pilih subjek kemahiran ikut minat'

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sesi Dialog Siswa bersama Syed Saddiq di Kompleks Karangkraf yang dihoskan oleh Hazwan Mokhtar pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sesi Dialog Siswa bersama Syed Saddiq di Kompleks Karangkraf yang dihoskan oleh Hazwan Mokhtar pada Khamis. - Foto SINAR HARIAN / MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan seharusnya membenarkan mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT) memilih subjek kemahiran mengikut minat mereka berbanding menetapkan subjek yang tidak diperlukan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pengulangan subjek yang terpaksa diambil ketika peringkat ijazah telah melambatkan mahasiswa untuk bergelar graduan, seterusnya memberi kesan terhadap permulaan kerjaya.

"Kalau ada mahasiswa lain yang nak ambil subjek keusahawanan, nak kawad kaki, biarlah dia pilih. Treat our student (layan mahasiswa) seperti orang dewasa untuk pilih kemahiran dan minat mereka. Yang dia tak nak ambil, jangan paksa kecuali subjek yang wajib.

"Ini tidak, anak-anak muda yang tidak minat subjek tertentu diwajibkan ambil (subjek) dan selain itu ada banyak subjek bertindih (contoh) dah dapat MUET (Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia) band tinggi, masih kena ambil lagi (subjek bahasa Inggeris).

"Ada juga subjek yang sudah diambil ketika diploma (tetapi) masih ambil subjek sama semasa pengajian ijazah. Ini melambatkan mereka," katanya pada sesi Dialog Siswa bersama Syed Saddiq di Kompleks Karangkraf pada Khamis.

Program yang dihoskan oleh Hazwan Mokhtar itu turut disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.

Syed Saddiq
Syed Saddiq

Dalam pada itu bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, kerajaan perlu mengkaji semula sistem pendidikan sedia ada bagi memberi peluang kepada mahasiswa untuk lebih proaktif dan setanding graduan universiti antarabangsa.

"Pindahan kredit tidak boleh, tempoh pengajian agak lama, kos pendidikan tinggi maka nak jadi graduan lambat (jadi) masuk kerja lambat. Macam mana nak bersaing dengan graduan daripada universiti antarabangsa. Ini masalah besar yang perlu diteliti sedalam mungkin.

"Saya harap akan ada keberanian politik untuk kerajaan baharu lihat perkara ini secara mendalam dan selesaikan kerana jika tidak, tukar kerajaan 10 kali sekalipun perkara ini tidak diselesaikan," katanya.