SPRM dapati Mohd Nazlan langgar Kod Etika Hakim - Azalina

Mohd Nazlan
Mohd Nazlan
A
A
A

SHAH ALAM - Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali didapati melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan ketika mengetuai kes SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berdasarkan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Mohd Nazlan.

Datuk Seri Azalina Othman Said
Datuk Seri Azalina Othman Said

Memetik laporan portal berita FMT, Azalina mengesahkan Mohd Nazlan telah melanggar kod dan mempunyai konflik kepentingan menerusi surat bertarikh 20 Mac kepada peguambela, Shafee & Co.

Azalina berkata, ia berdasarkan salinan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Februari lalu yang dipanjangkan oleh agensi itu kepadanya.

Azalina dilapor menjawab surat daripada peguambela Najib bertarikh 15 Mac yang bertanya sama ada SPRM menulis kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengesyorkan supaya prosiding tatatertib dimulakan terhadap Mohd Nazlan berhubung pengendaliannya dalam kes SRC.

Dalam surat itu, firma guaman berkenaan bertanya sama ada SPRM pada dasarnya membuat kesimpulan bahawa Mohd Nazlan melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan.

Dalam surat balas kepada firma gauaman itu, Azalina berkata, beliau boleh mengesahkan persoalan-persoalan yang dikemukakan telah dijawab secara afirmatif.

Sebelum ini surat yang didakwa daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Tengku Maimun tersebar di media sosial beberapa hari selepas Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan bekas Presiden UMNO itu untuk menyemak sabitan dan hukumannya.

Surat yang bertarikh 20 Februari itu menyatakan siasatan SPRM mendapati terdapat isu salah laku oleh Mohd Nazlan yang perlu dipertimbangkan oleh ketua hakim negara.

Pada 24 Februari lalu media melaporkan, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tengku Maimun berkata SPRM tidak mengikut protokol ketika menjalankan siasatan terhadap Mohd Nazlan.

Dalam penghakimannya, Tengku Maimun berkata agensi penyiasat seperti SPRM mesti berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim mahkamah atasan.

Pada Julai 2020, Mohd Nazlan yang ketika itu merupakan Hakim Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta.