Klinik Kesihatan Bandar Raub mula beroperasi Isnin lalu

Klinik Kesihatan Bandar Raub (KKBR), Raub mula beroperasi pada Isnin lalu.
Klinik Kesihatan Bandar Raub (KKBR), Raub mula beroperasi pada Isnin lalu.
A
A
A

KUANTAN - Klinik Kesihatan Bandar Raub (KKBR) yang menelan kos RM25.2 juta sudah mula beroperasi secara rasminya pada Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, klinik siap sepenuhnya pada 11 Januari tahun lalu bagi menggantikan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Raub (KKIA) yang beroperasi sejak 1979.

Menurutnya, fasiliti kesihatan itu dapat menampung kapasiti kedatangan pesakit sekitar 300 hingga 500 pesakit sehari.

"Pembinaan KKBR ini adalah usaha berterusan kerajaan bagi menjamin kemudahan masyarakat setempat khususnya penduduk Raub untuk mendapatkan akses kepada kesihatan awam.

"Kewujudan klinik kesihatan ini dapat memberi manfaat kepada kira-kira 49,000 penduduk di Bandar Raub," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Klinik terbabit mampu menampung kapasiti kedatangan pesakit sekitar 300 hingga 500 pesakit sehari.
Klinik terbabit mampu menampung kapasiti kedatangan pesakit sekitar 300 hingga 500 pesakit sehari.

Beliau berkata, klinik terbabit beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum dan hujung minggu.

Jelasnya, antara perkhidmatan yang disediakan seperti pesakit luar, kesihatan ibu dan anak,perkhidmatan farmasi atau bekalan ubat, pergigian dan perkhidmatan sokongan lain seperti makmal perubatan, x-ray, rehabilitasi, kaunseling, domisiliari, rundingan dietetik dan pemakanan.

"Perkhidmatan x-ray di KKBR merupakan yang pertama disediakan di klinik kesihatan kerajaan di daerah Raub.

"Kita harap dengan kemudahan ini, ia dapat memudahkan pesakit mendapatkan perkhidmatan tanpa bertumpu ke Hospital Raub bagi tujuan tersebut," katanya.

Sehubungan itu, Nor Azimi berharap agar perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dapat disampaikan dengan sebaiknya kepada masyarakat di Bandar Raub melalui KKBR.

Katanya, ia seiring dengan hasrat kerajaan memastikan rakyat mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan awam dengan mudah dan selesa.