Lebih 10 kawasan hutan simpan kekal di Johor diterokai

Datuk Salim Aman
Datuk Salim Aman
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) mengesan lebih 10 kawasan di Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri itu yang berkemungkinan diterokai oleh Orang Asli melibatkan kawasan di luar rizab mereka serta pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarah JPNJ, Datuk Salim Aman berkata, kawasan diterokai didapati telah dijadikan penempatan dan ladang getah serta kelapa sawit yang disifatkan diuruskan secara terancang berikutan terdapat penggunaan mesin dan sebagainya.

Beliau berkata, HSK di luar kawasan rizab Orang Asli tidak boleh diterokai oleh mana-mana pihak, termasuk Orang Asli sendiri dan ia hanya dibenarkan sebagai kawasan rayau bagi Orang Asli mendapatkan hasil termasuk memburu bagi kegunaan sendiri dan bukan tujuan komersial.

"JPNJ mengakui memang terdapat kawasan-kawasan HSK yang telah diterokai oleh Orang Asli dan pihak tidak bertanggungjawab, jadi ada dua kategori, satu penempatan dan satu lagi perladangan.

"Majoriti adalah kelapa sawit yang kita rasa mungkin diusahakan oleh Orang Asli dan pihak luar, mungkin peringkat awal itu diteroka oleh mereka (Orang Asli) yang telah ditebang-tebang itu, tetapi kemudian dimasuki pihak luar dan menjadi semakin besar,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa dan Silaturrahim Ramadan Johor Economic, Tourism and Cultural Office (JETCO), di sini, malam Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya JPNJ ada mengesan aktiviti penerokaan dan pencerobohan dalam HSK.

Justeru, Salim berkata, jabatannya sedang mengumpul maklumat untuk disalurkan kepada kerajaan negeri bagi mengenal pasti tindakan yang boleh diambil.

Tiga minggu lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dalam titah perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, telah menzahirkan kekecewaan berikutan ada segelintir Orang Asli menceroboh kawasan hutan simpan kerajaan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran.

Baginda juga percaya terdapat orang luar yang menjadi dalang dalam hal ini dan cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hak Orang Asli sebagai alasan, justeru, turut menggesa kerajaan negeri supaya meletakkan kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah Sultanate Land supaya tiada pihak boleh berbuat sesuka hati.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri menjunjung dan menyokong sepenuhnya titah Sultan Ibrahim untuk meletakkan semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di negeri ini di bawah Sultanate Land supaya tidak ada pihak boleh berbuat sesuka hati.

Menteri Besar,kerajaan negeri sangat peka dan prihatin terhadap eksploitasi yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab ke atas Orang Asli terutamanya di negeri ini. - Bernama