120 notis kompaun gagal patuh peraturan kebersihan

Dr Zaini (tengah) menyarungkan apron kepada Wan Razani (kanan) di bazar Ramadan Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu pada Rabu.
Dr Zaini (tengah) menyarungkan apron kepada Wan Razani (kanan) di bazar Ramadan Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan 120 notis kompaun berjumlah RM12,000 kepada 120 pengendali makanan atas pelbagai kesalahan dan ketidakpatuhan aspek kebersihan dalam tempoh dua minggu Ramadan di negeri ini.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, notis dikeluarkan mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Kesalahan dilakukan terutamanya di bawah Peraturan 32 berhubung dengan ketidakpatuhan pakaian pengendali makanan.

“Seperti tidak memakai apron, kasut, penutup kepala dan pakaian yang tidak bersih,” katanya ketika ditemui selepas Merasmikan Kempen Perhati dan Pilih Bazar Ramadan 2023 di pekarangan Mydin Mall Tunjong di sini pada Rabu.

Beliau juga menyampaikan Anugerah Gerai Bersih kepada peniaga, Wan Razani Wan Hussin (lauk-pauk), Muhammad Mirza Zakwan Mohd Afriza (cendol), Siti Saerah Ismail (colek) dan Wan Mohd Amirul Wan Aziz (ikan bakar).

Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail.

Dr Zaini berkata, jabatan tersebut menubuhkan 42 pasukan pemantau yang terdiri daripada 214 anggota kesihatan pelbagai kategori bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan.

“Tahun ini, sebanyak 66 bazar Ramadan berdaftar dengan PBT (pihak berkuasa tempatan) di negeri Kelantan dengan 4,298 petak perniagaan iaitu peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding tahun lalu.

“Setakat ini, sebanyak 1,233 gerai dan 2,470 pengendali makanan di seluruh negeri ini diperiksa. Pihak jabatan juga menyediakan kos imbas aduan bagi memudahkan orang awam membuat laporan dan mendapatkan maklumat berkaitan,” katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhannya, tahap kebersihan premis makanan di bazar Ramadan ialah sebanyak 91 peratus dan dikategorikan pada tahap memuaskan.

“Setakat ini, tiada aduan atau kes keracunan makanan dilaporkan dan mengharapkan keadaan ini kekal sehingga Aidilfitri,” katanya.