Ramadan kali ini lebih meriah

Dr Abdullah (tengah, berdiri) bersama jemaah yang berbuka di MTJ.
Dr Abdullah (tengah, berdiri) bersama jemaah yang berbuka di MTJ.
A
A
A

TEMERLOH - Tradisi majlis berbuka di Masjid Temerloh Jaya (MTJ) di sini tahun ini menjadi lebih meriah dengan peningkatan hingga 300 hidangan disediakan setiap hari sepanjang Ramadan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pengerusi MTJ, Dr Abdullah Ismail berkata, jumlah itu meningkat berbanding 100 sebelum bertambah 250 hidangan pada tahun lepas.

Menurutnya, program tersebut menjadi tumpuan jemaah masjid itu yang memilih untuk berbuka di MTJ bersama ahli keluarga.

"Program ini sudah dimulakan sejak enam tahun lalu dan mendapat sambutan baik di kalangan jemaah termasuk golongan musafir dengan juadah disediakan oleh pihak katering.

"Usaha ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai jemaah bersama keluarga berbuka di masjid sekali gus menunaikan solat Maghrib berjemaah kerana sebelum ini lebih ramai yang suka berbuka puasa di rumah sahaja," kata beliau.

Ujar Abdullah, sebanyak RM112,500 diperuntukkan untuk program sepanjang Ramadan tersebut iaitu RM3,750 sehari bagi menjayakan majlis berbuka terbabit.

"Semua perbelanjaan ini adalah hasil sumbangan orang ramai melalui Program Iftar Ramadan," jelas beliau lagi.

Tambah beliau, pihaknya turut menjemput tetamu khas setiap hari terdiri daripada ketua jabatan dan kakitangan kerajaan mahupun swasta di daerah ini datang berbuka puasa secara bergilir.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, masjid tersebut kini menghadapi limpahan jemaah sehingga memenuhi setiap ruang dan melimpah-ruah ke luar pada waktu solat sehingga tidak mampu menampung kehadiran jemaah.

Tambah beliau, masjid itu boleh memuatkan kira-kira 800 jemaah di ruang solat pada satu-satu masa, namun sentiasa penuh sehingga mencecah 1,200 orang.

"Keadaan ini berlaku bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah pada bulan lain juga sehingga mendapat pengiktirafan Anugerah Masjid Paling Imarah dan Anugerah Masjid Malaysia 2020 oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," ujar beliau situasi itu sudah menjadi kebiasaan penduduk.

Sebelum ini, MTJ pernah tular kerana sambutan jemaah yang memenuhi ruangan pada waktu solat Subuh sehinggakan kejayaan masjid itu menjadi contoh dan sering dikunjungi orang ramai serta pengurusan masjid lain seluruh negara.