Suami isteri didakwa jalankan pinjaman wang tanpa lesen

Suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas pertuduhan menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada dua wanita warga asing, minggu lalu.
Suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas pertuduhan menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada dua wanita warga asing, minggu lalu.
A
A
A

IPOH - Suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas pertuduhan menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada dua wanita warga asing, minggu lalu.

Chang Cheong Chin, 51, dan isterinya warga Thailand, Niarini Situmorang, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Punitha.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjalankan perniagaan memberi pinjam wang tanpa lesen yang sah kepada dua wanita di Hala Pulai Jaya 7, Bandar Pulai Jaya di Ipoh jam lebih kurang 10.15 pagi pada 30 Mac 2023.

Pertuduhan terhadap suami isteri itu dikemukakan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM250,000 sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, Cheong Chin dan Niarini turut mengaku tidak bersalah atas kesalahan memiliki pasport milik empat individu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pasangan berkenaan didakwa di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hosna Mohamad Zikri manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), EP Seeralasittan.

Bagi kedua-dua pertuduhan, mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 dikenakan dengan seorang penjamin terhadap pasangan suami isteri tersebut beserta syarat tambahan pasport Niarini diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Mei depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.