Tukar rumput Zeon Zoysia perlukan kos tinggi tapi berkualiti

Nur Ekmal
Nur Ekmal
A
A
A

FAKTOR urus tadbir dalam penyelenggaraan harus menjadi elemen utama yang perlu dititikberatkan oleh mana-mana kelab bola sepak mahupun pemilik stadium jika mahu menukar rumput jenis Cow Grass kepada Zeon Zoysia.

Pengarah Pusat Sukan, Kompleks Sukan Tunku Najihah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Ekmal Buhary berkata, industri bola sepak negara memerlukan anjakan yang lebih serius kepada aspek pembangunan dan kemahiran penyelenggaraan yang lebih sistematik.

“Baru-baru ini, Perak dan Kedah berhasrat menerima tawaran penukaran rumput. Bagi saya, mereka telah membuat pilihan yang bagus dan itu satu anjakan ke arah mutu padang lebih bagus.

“Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya dalam pengurusan padang, rumput Cow Grass yang digunakan di kebanyakan padang adalah paling mudah untuk dijaga.

“Cuma kita masih dengar cerita padang yang menggunakan rumput Cow Grass ini tetap rosak kerana tidak ada kesungguhan oleh pihak berkenaan dalam penyelenggaraan padang.

“Kalau rumput yang senang nak dijaga pun agak sukar untuk mereka jaga, apa lagi jika jenis Zeon Zoysia. Kita tak mahu nanti projek pertukaran padang rumput itu jadi pembaziran,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Menurutnya, kelab perlu mempunyai keberanian untuk mula melabur bagi menyediakan fasiliti sendiri yang lebih fokus kepada keperluan utama membina pasukan dan meningkatkan mutu penyelenggaraan yang seterusnya akan memberi kesan kepada corak permainan dan seni bola sepak yang semakin maju.

"Sebagai perumpamaan, padang ibarat pentas persembahan, jika kita mengharapkan persembahan yang terbaik maka pentasnya perlu lebih baik. Penyelenggaraan padang yang baik akan menghasilkan kualiti dan persembahan yang terbaik," katanya.

Terdahulu, kerajaan Perak dan Kedah bersetuju menerima tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menaik taraf rumput di stadium terpilih daripada Cow Grass kepada Zeon Zoysia.

Namun, negeri-negeri lain belum menyatakan persetujuan dan KBS akan mengadakan mesyuarat bersama Exco belia dan sukan negeri dalam masa terdekat bagi mendapatkan ketetapan mereka berhubung pemilikan rumput itu.

Difahamkan, kos penyelenggaraan rumput Zeon Zoysia yang mencecah RM240,000 setahun atau sekitar RM20,000 hingga RM30,000 sebulan menjadi antara sebab tawaran dibuat oleh KBS kurang mendapat sambutan.

Kos penyelenggaraan bulanan rumput Cow Grass mungkin melibatkan separuh dari kos penyelenggaraan Zeon Zoysia sekali gus menyebabkan pemegang taruh lebih cenderung untuk kekal mengguna pakai rumput Cow Grass di stadium masing-masing.

“Sesetengah tempat yang menjadikan padang itu bukan hanya kegunaan kelab bola sepak, ia akan ada sedikit kekangan. Kalau Stadium Sultan Ibrahim memang khusus untuk bola sepak sahaja.

“Kalau di stadium negeri atau yang di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka memerlukan majlis lain diadakan di stadium tersebut untuk dapatkan dana bagi pelbagai kos baik pulih stadium.

“Jadi, ia menjadi cabaran kepada pemilik stadium untuk memastikan apabila rumput itu siap nanti, ia dapat dijaga dengan sebaik mungkin,” jelas Nur Ekmal.