PM perlu campur tangan isu doktor kontrak

Kerajaan seharusnya meletakkan isu kesihatan di peringkat tertinggi memandangkan negara pada ketika ini masih berdepan dengan tri-krisis melibatkan ekonomi, politik dan kesihatan.
Kerajaan seharusnya meletakkan isu kesihatan di peringkat tertinggi memandangkan negara pada ketika ini masih berdepan dengan tri-krisis melibatkan ekonomi, politik dan kesihatan.
A
A
A

SEKTOR kesihatan negara kembali menjadi tumpuan ramai apabila gerakan baharu, melibatkan kumpulan doktor kontrak mengadakan mogok selama tiga hari dengan cara tidak hadir bertugas melalui kaedah mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan bermula semalam.

Kumpulan itu yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia, mendakwa seramai 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok berkenaan.

Gerakan ini juga mengemukakan enam tuntutan iaitu semua pegawai perubatan kontrak diserap ke dalam jawatan tetap tanpa sebarang syarat.

Gaji pokok serta kadar on call pakar dengan pegawai perubatan juga perlu dinaikkan iaitu RM40 dan RM100 untuk satu jam.

Ironinya gerakan yang sama juga telah diadakan pada 26 Julai 2021, Hartal Doktor Kontrak (HDK) iaitu gerakan dianjurkan oleh para pegawai perubatan di Malaysia telah mengadakan mogok secara terbuka di seluruh negara sebagai bantahan terhadap dasar pelantikan pegawai perubatan berkontrak Malaysia yang dilaksanakan sejak akhir tahun 2016.

Perhimpunan itu adalah kemuncak rasa tidak puas hati bagi menuntut jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak, hak kenaikan gaji, serta kebajikan sama rata dengan jawatan doktor tetap.

Sebulan sebelum hartal dijalankan, dilaporkan kira-kira 35,216 lantikan secara kontrak di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala sehari sebelum hartal, kerajaan setuju melanjutkan kontrak 14,000 doktor perubatan, pergigian dan pegawai farmasi bagi tempoh dua tahun memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM1.2 bilion.

Biarpun dua gerakan itu dianjurkan oleh dua kumpulan berbeza tetapi matlamat mereka tetap sama iaitu memperjuangkan nasib doktor kontrak.

Melihat kepada keadaan tersebut, kerajaan seharusnya meletakkan isu kesihatan di peringkat tertinggi memandangkan negara pada ketika ini masih berdepan dengan tri-krisis melibatkan ekonomi, politik dan kesihatan.

Sebagai langkah pertama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh bertemu dengan doktor kontrak ini sebagai cara mendengar rintihan hati mereka sekali gus memberi jaminan bahawa perjuangan dan tuntutan mereka akan diketengahkan.

Mungkin dengan membuka langkah pertama ini, sektor perubatan negara tidak akan lagi berdepan dengan budaya mogok yang boleh menjejaskan sektor kesihatan negara.