Empat mesin jual air tiada lesen disita

Mohd Rosli menampal notis sitaan pada mesin air yang tiada lesen KKM.
A
A

KEMAMAN - Sebanyak empat mesin menjual air didapati tidak memiliki lesen daripada Kementerian Kesihatan disita pada satu operasi khas hari ini.

Dalam operasi melibatkan 13 pegawai dan anggota penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd itu, tiga lokasi disasarkan iaitu di kawasan Taman Banggol Indah, Taman Fikri dan Jalan Air Putih.

Operasi yang diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran Daerah, Mohd Rosli Abd Wabah memeriksa sebanyak tujuh mesin menjual air tidak mempunyai lesen.

Mohd Rosli berkata, empat daripadanya disita manakala dua tidak beroperasi kerana rosak dan sebuah lagi dalam proses permohonan lesen daripada kementerian.

"Kesemua empat mesin jual air berkenaan disita di bawah peraturan 360 (C) Peraturan Makanan 1985 kerana tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan sebelum beroperasi.

"Operasi ini dilakukan bertujuan untuk memastikan pengusaha dan syarikat yang mengurus mesin jual air mendapat lesen sah daripada pihak kami sebelum dapat beroperasi," katanya pada operasi berkenaan.

Menurut beliau, lesen jual air perlu dipantau dan dikawal selia oleh pihak mereka bagi menentukan air yang dijual kepada pengguna adalah selamat.

"Aspek yang kami periksa meliputi tahap kebersihan, berada di lokasi yang jauh dari punca pencemaran, pintu dan penutup pada muncung pendispen, tidak menyatakan sebarang tuntutan kesihatan dan menggunakan sumber air awam yang bersih.

"Pihak kami juga mengambil sampel air dan dihantar ke makmal bagi ujian mikrobiologi dan kimia bagi menentukan ia adalah selamat.

"Pemeriksaan yang kita jalan ke atas mesin jual ini mendapati penjagaan kebersihan tidak diurus dengan baik. Terdapat kekotoran lumut di bahagian lantai tempat tadahan air dan ada juga yang rosak tercabut pintu," katanya.

Seramai 13 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi khas mesin menjual air di tiga lokasi di Kemaman.
Seramai 13 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi khas mesin menjual air di tiga lokasi di Kemaman.

Mengulas lanjut, Mohd Rosli berkata, terdapat 90 mesin jual air di daerah ini dan hanya tujuh atau 7.7 peratus sahaja yang mempunyai lesen dan kelulusan kementerian.

Katanya, jenama mesin jual air yang utama di Kemaman antaranya adalah Energy, Cypress, Pro Osis, Pro Sakid, Miracle 6, Bio Drink dan Platinum.

"Kami telah mengeluarkan surat peringatan sejak 2015 dan telah memberi beberapa sesi penerangan kepada pengusaha namun masih ramai enggan mematuhi. Selain itu, sebanyak 59 notis pentadbiran telah dikeluarkan kepada semua pengusaha sepanjang tahun ini bagi memaklumkan pematuhan arahan ini.

"Operasi ini merupakan siri kedua sejak dilakukan awal tahun ini dan pihak kami akan menyita mesin ini sepenuhnya dari digunakan," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Rosli turut menasihatkan orang ramai agar membeli air dari mesin yang mendapat kelulusan kementerian kerana ia telah diverifikasi jaminan kebersihan dan keselamatan.

Tambahnya, mesin jual air yang sahkan oleh kementerian mempunyai pelekat dengan nombor kelulusan.

"Pengusaha mesin yang telah disita dan yang belum mendapat lesen yang sah perlu berhubung segera di Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan pejabat kami bagi mendapat maklumat lebih lanjut," katanya.

Katanya, operasi sita itu akan diteruskan oleh pihaknya bagi memastikan semua mesin jual air yang ada mendapat kelulusan kementerian sepenuhnya.

Mohd Rosli berkata, jika sabit kesalahan menjual air tanpa lesen boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, pada operasi itu, pihak KPDNHEP Cawangan Kemaman yang diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasanya, Aizam Zal Zainal Abidin mengeluarkan sebanyak dua kompaun di bawah seksyen 14(6) Akta Timbang Sukat 1972 di bawah kesalahan mengguna alat timbang sukat yang telah tamat tempoh.

Operasi berkenaan turut disertai Pengurus Cawangan Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd, Ahmad Farid Abd Rahman.

Ahmad Farid berkata, agensinya diswastakan di bawah KPDNHEP yang bertanggungjawab mengurus bagi penentusahkan standard ukur timbang yang perlu dipatuhi mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia