Roti john RM6 laris, jualan cecah 700 biji sehari

Pekerja menyediakan roti john yang ditempah pelanggan.
Pekerja menyediakan roti john yang ditempah pelanggan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Permintaan tinggi menyebabkan peniaga roti john berharga RM6 yang dijual di sebuah premis perniagaan di Kampung Kubang Jela, Manir di sini terpaksa meningkatkan jualan sehingga 700 biji sehari sepanjang Ramadan.

Muhamad Azlam Abdul Majid, 25, berkata, peningkatan jualan sebanyak enam kali ganda pada tahun ini disifatkan sebagai rezeki luar biasa.

"Ikut kebiasaan jualan roti john ni dijual setiap hari dengan purata jualan 100 biji sehari pada hari biasa. Pada Ramadan tahun lalu kita jual 500 biji sehari.

"Ramadan kali ini, sambutan diterima agak luar biasa dan kita perlu gandakan lagi jualan sehingga 700 biji setiap hari dan terpaksa menambah seorang lagi pekerja, " katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Ahad.

Muhamad Azlam
Muhamad Azlam

Muhamad Azlam berkata, terdapat lima pilihan roti john yang dijual di premisnya iaitu daging (RM6), ayam (RM6), ayam dan daging (RM6) kambing (RM10), special iaitu daging dan cheese (RM8).

Ditanya mengenai harga rendah yang ditawarkan untuk sebiji roti yang mewah dengan rasa daging dan ayam, Muhamad Azlam berkata dia mahu kekalkan harga rendah untuk berniaga sambil menyumbang kepada orang ramai.

"Mungkin bagi sesetengah peniaga mereka tetapkan harga tertentu kerana perlu membayar sewa dan sebagainya.

"Tetapi, bagi saya, walaupun saya perlu membayar sewa kedai, pada saya tidak menjadi masalah kalau saya jual ia dengan harga murah.

Antara pelanggan beratur untuk mendapatkan roti john yang dijual di Kampung Kubang Jela, Manir di Kuala Terengganu.
Antara pelanggan beratur untuk mendapatkan roti john yang dijual di Kampung Kubang Jela, Manir di Kuala Terengganu.

"Betul.. Nak dapat untung dalam jumlah yang besar itu tidaklah kerana harga barangan juga kebanyakannya naik buat masa ini. Bagi saya kalau saya mampu bayar gaji pekerja, bayar sewa kedai serta simpanan sedikit ia sudah memadai," ujarnya yang mempunyai seramai 11 orang pekerja.

Muhamad Azlam berkata, dia mula menjalankan perniagaan roti john di situ sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Mula-mula dulu roti john saya jual pada harga RM4.50 dengan saiz yang roti sama. Namun terpaksa naikkan 50 sen kerana peningkatan harga barang.

"Dulu saya jual bawah kanopi sahaja selepas ambil alih perniagaan daripada abang ipar. Selepas itu saya mula sewa kedai di lokasi ini bagi melancarkan lagi proses jualan," katanya.

Sebahagian pelanggan beratur untuk mendapatkan roti john yang dijual di Kampung Kubang Jela, Manir di Kuala Terengganu.
Sebahagian pelanggan beratur untuk mendapatkan roti john yang dijual di Kampung Kubang Jela, Manir di Kuala Terengganu.

Sementara itu, seorang pelanggan, Abdul Razak Abdul Rahman, 54 berkata, dia mengetahui mengenai roti john yang dijual melalui rakannya.

" Tengah sembang dengan kawan dia beritahu ada roti john inti 'nembok' (banyak). Biasa roti john ni inti 'tenggelam' dalam roti. Yang ini nampak sedap dan berbeza. Sebab tu saya ni pertama kali datang ke sini untuk beli," katanya yang tinggal di Kampung Pulau Rusa.

Seorang lagi pelanggan, Jaafar Selamat, 38 berkata, dia pertama kali mahu mencuba juadah itu selepas tahu mengenainya melalui media sosial.

"Saya bekerja di Selangor dan kebetulan balik ke kampung di Terengganu. Jadi dapat lah datang hari ini untuk rasa roti john yang dijual, "ujarnya.

Roti john yang dijual Muhamad Azlam mula tular sejak Jumaat lalu selepas seorang pemilik akaun Fecebook, Fakrul Rozie berkongsi gambar mengenainya di grup media sosial facebook B40 Buat Perangai Apa Harini.

Roti john itu menarik perhatian ramai kerana disifatkan 'tidak kedekut' dengan inti, sayur serta sos yang menambahkan lagi kelazatan juadah tersebut, di samping harganya yang murah.