Sukar lestari industri teksi jika nasib pemandu terus digadai

Kamarudin. Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Kamarudin. Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat melestarikan industri teksi dan e-hailing sukar dicapai jika kerajaan terus menggadaikan untung rugi dan nasib pemain industri berkenaan kepada syarikat penyedia perkhidmatan tersebut.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain berkata, Kementerian Pengangkutan perlu bertemu dengan pihak persatuan bagi mendengar pandangan dan cadangan menaik taraf sektor itu.

Menurutnya, hasrat mampu dicapai jika cadangan diusulkan itu dilaksanakan secara tulus tanpa sebarang unsur birokrasi dan kepentingan pihak-pihak tertentu.

"Kerajaan akan mencipta sejarah sebagai sebuah kerajaan yang mampu membawa pembaharuan kepada industri teksi setaraf dengan perkhidmatan di negara-negara maju.

"Penumpang pula bakal menikmati keselesaan dan keselamatan lebih terjamin. Malah perkhidmatan teksi akan menjadi lebih baik dan berhemah serta profesional, " katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang melanjutkan had usia penggunaan kenderaan teksi dan e-hailing kepada 15 Tahun pada Isnin.

APAD memaklumkan, langkah itu sejajar dengan hasrat Kementerian Pengangkutan dalam usaha melestarikan industri teksi dan e-hailing ke arah menambah baik sistem pengangkutan negara.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, GTSM menyambut baik pengumuman tersebut yang merupakan satu keperluan bagi pemandu teksi yang berdepan masalah kenderaan telah mencapai had usia 10 tahun.

Ujarnya, perkara itu pernah diusulkan ketika mesyuarat bersama Majlis Tindakan Ekonomi pada 28 May 2020.

"Kami mencadangkan supaya semua kelas teksi di seluruh negara dilanjutkan kepada 15 tahun susulan Pelaksanan Perintah Kawalan (PKP) yang menyebabkan ekonomi terjejas..

"Jika lanjutan had usia itu tidak dilaksanakan, pemandu terbabit tidak mempunyai keupayaan untuk membeli teksi baharu susulan kehilangan sumber pendapatan selepas pelaksanaan PKP yang berjalan selama hampir dua tahun," katanya.