Lima hari jalan kaki dari JB ke Istana Negara tuntut keluar KWSP

Norazlan (kiri) tiba di Pintu 3 Istana Negara pada Isnin setelah berjalan kaki sejauh 312 kilometer (km) dari Tol Skudai. - Foto Facebook Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan
Norazlan (kiri) tiba di Pintu 3 Istana Negara pada Isnin setelah berjalan kaki sejauh 312 kilometer (km) dari Tol Skudai. - Foto Facebook Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah berjalan kaki sejauh 312 kilometer (km) dari Tol Skudai bagi membawa misi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemandu teksi, Norazlan Ismail akhirnya selamat tiba di Pintu 3 Istana Negara pada Isnin.

Bapa kepada lima cahaya mata itu nekad mengarungi hujan panas selama lima hari untuk ke ibu negara atas desakan dan kepayahan hidup yang dialaminya.

Kongsinya, idea untuk berjalan kaki itu timbul setelah melihat usaha beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin yang menyokong pengeluaran tersebut ditolak oleh kerajaan.

“Justeru, datang satu jalan yang nak tunjukkan bahawa orang bawahan macam saya memang sangat memerlukan (wang pengeluaran KWSP) untuk menyelesaikan hutang-hutang sedia ada.

“Terima kasih kepada NGO, pemimpin tidak kira kerajaan ataupun blok pembangkang yang bersusah payah, daripada merekalah datangnya ilham saya.

“Alhamdulillah, harap perkara ini dapat lembutkan hati pemimpin kita,” katanya menerusi satu hantaran video yang dikongsikan di media sosial pada Isnin.

Pada Isnin, Norazlan yang berpakaian kot dan bersongkok dilihat tiba di Pintu 3 Istana Negara kira-kira jam 11.03 pagi ditemani Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Pada 29 Mac lalu, Norazlan mencuri tumpuan ramai apabila nekad berjalan kaki sejauh 312km dari Tol Skudai ke Istana Negara bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP supaya kesusahannya disedari pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Norazlan mengakui tindakan itu umpama 'misi gila', namun dia menganggapnya sebagai usaha agar kerajaan memahami betapa terdesak individu sepertinya mahukan pengeluaran caruman KWSP.

Sementara itu, berkongsi tentang keadaan kesihatannya sepanjang perjalanan, Norazlan memberitahu, selain berdepan cuaca tidak menentu termasuk hujan, dia hanya mengalami masalah kaki melecet, namun masih tetap semangat untuk mengharungi cabaran tersebut.

“Alhamdulillah sekadar melecet sahaja, tetapi dengan semangat yang saya bawa dari Johor menambahkan kelajuan saya berjalan.

“Sepanjang perjalanan, ramai tegur dan nak hulurkan pertolongan. (Ada yang) nak tumpangkan, beri duit. Tetapi bukan itu motif saya. Kalau nak orang tumpangkan, baik saya naik bas dari Johor ke Kuala Lumpur. Tidak perlu susah-susah saya (jalan kaki).

“Saya nak pemimpin nampak perkara ini, syukur saya berjaya. Walaupun saya tidak dapat jumpa Tuanku (Yang di-Pertuan Agong), tetapi Alhamdulillah saya dapat cenderahati daripada Tuanku, bermaksud Seri Paduka Baginda tahu saya ada di sini,” katanya.