Anak mohon kesan bapa hilang sejak 21 Mac

Ali dikatakan keluar rumah di Cheras pada 21 Mac dan sehingga kini masih belum pulang.
Ali dikatakan keluar rumah di Cheras pada 21 Mac dan sehingga kini masih belum pulang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang guru memohon bantuan awam menjejaki bapanya, Ali Mohd Nor, 84, yang dilaporkan hilang sejak 21 Mac lalu.

Abdul Raoof Ali, 56, berkata, bapanya keluar dari rumah di Cheras ketika adiknya keluar bekerja.

Menurutnya, warga emas itu pernah dilaporkan hilang sebelum ini namun berjaya ditemui selepas beberapa hari.

"Biasanya dia akan ke rumah adik-beradiknya, saudara-mara atau kenalan cuma kali ini hilang tanpa jejak.

"Dia tiada penyakit nyamuk cuma gemar keluar rumah tanpa memberitahu keluarga menyebabkan kami perlu selalu mencarinya," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik bertindak menularkan berita kehilangan tersebut di media sosial selepas usaha menjejaki bapanya menemui jalan buntu.

Abdul Raoof berkata, pihaknya dimaklumkan bapanya ke rumah kenalan di Bidor yang kemudian dibantu menaiki bas untuk ke Johor Bahru.

Bagaimanapun katanya, selepas berita itu ditularkan, terdapat pihak memaklumkan bapanya berada di jeti mahu ke Pulau Besar, Melaka pada Ahad.

"Ada orang telefon pagi tadi, tunjukkan gambar kad pengenalan ayah yang berada di sana satu malam.

"Patutnya pemandu bot mahu menghantarnya ke Pulau Besar pada Ahad tapi dia sudah tidak ada di lokasi," katanya.

Susulan itu, pihaknya bertindak membuat laporan polis kerana risau akan keselamatan bapa yang meninggalkan barangan termasuk selipar dan dompet di jeti berkenaan.

"Puas kami nasihat tentang bahaya keluar sendirian, namun ayah tidak mahu dengar. Dia ada telefon tapi sentiasa ditutup. Biasanya dia ke mana-mana menaiki teksi atau bas kerana tiada kenderaan.

"Saya harap mana-mana pihak yang ada maklumat boleh menghubungi saya di 011-21931245," katanya.