PADU tak sokong mogok doktor kontrak

Tindakan protes yang pernah dilakukan sebahagian doktor kontrak sebelum ini. (Gambar kecil: Dr Jafri Malin)
Tindakan protes yang pernah dilakukan sebahagian doktor kontrak sebelum ini. (Gambar kecil: Dr Jafri Malin)
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (PADU) menyedari isu doktor kontrak ini adalah isu yang telah lama dan semuanya bermula dengan kemunculan skim kontrak yang diwujudkan untuk Pegawai Perubatan Siswazah (HO) iaitu pada Disember 2016.

Presiden PADU, Profesor Datuk Dr Jafri Malin Abdullah dalam satu kenyataan mengakui permasalahan berkisar doktor kontrak telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat terutama kepada pihak yang terkesan.

Menurutnya, sebelum ini, pihak PADU juga telah terpanggil untuk menyatakan pendirian tentang hal ini sekali gus menggesa pihak yang berwajib untuk memandang perkara ini sebagai sesuatu yang serius yang perlukan tindakan segera.

Namun, tegasnya timbulnya satu lagi kebimbangan serius terkini dalam kalangan doktor kontrak, yang mana doktor-doktor kontrak ini merancang untuk mengadakan mogok pada 3 hingga 5 April 2023.

"Berita mengenai perancangan mogok ini tular di saluran media sosial. Tetapi, buat masa ini Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak KKM hanya menerima hebahan mengenai mogok ini melalui saluran media sosial sahaja.

"PADU tidak menyokong kepada tindakan mogok ini oleh doktor-doktor kontrak amnya, dan juga doktor-doktor kontrak graduan USM," katanya.

Dr Jafri Malin berpandangan tindakan mogok mungkin bukan penyelesaian terbaik kepada sebarang masalah yang timbul mengenai profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional lain.

Tegasnya, menganjurkan mogok secara amnya boleh menyebabkan perkhidmatan terjejas selama mana ia dianjurkan.

"Biasanya, ia dianjurkan untuk menyampaikan mesej tertentu kepada pihak yang berkenaan. Tetapi perkara ini perlu ditimbang dengan teliti.

"Ini kerana perkhidmatan kesihatan adalah perkhidmatan kritikal, terutamanya kerana ia melibatkan kehidupan manusia dan kesejahteraan sejagat," katanya.

Tambah beliau, kebanyakan doktor kontrak merungut tiada hala tuju laluan kerjaya, selain sistem kontrak ditawarkan masih tidak jelas dan tiada ketelusan.

Mengulas lanjut, Dr Jafri Malin berkata, perkhidmatan kesihatan di negara ini perlu terus dianggap sebagai sektor yang kritikal dan begitu juga bagi petugas kesihatan.

Ini disebabkan oleh kompleksiti sektor ini, serta cabaran, risiko dan jerih perih yang perlu dihadapi oleh anggota kesihatan dalam menjalankan tugasan dan tanggungjawab mereka.

Justeru itu, beliau berpendapat bahawa petugas kesihatan merupakan aset utama Perkhidmatan Kesihatan perlu terus diberi perhatian yang sewajarnya, termasuk imbuhan yang setimpal buat perkhidmatan mereka.

Menurut beliau lagi, pihak KKM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), hendaklah meneliti semula elaun sistem tugas atas panggilan dan keperluan serta kepentingan untuk meneruskan sistem tugas atas panggilan ini dengan sewajarnya.

"Tanpa sistem kesihatan yang utuh dan warga kerja perkhidmatan kesihatan yang terus memberikan perkhidmatan, tidak mungkin negara boleh terus maju ke hadapan.

"Pada masa sama, pihak JPA hendaklah meneliti semula pembatalan biasiswa untuk pelajar perubatan. Hal ini kerana ianya sangat memberi kesan kepada pelajar-pelajar perubatan, terutamanya mereka yang dari golongan B40," tambahnya.

Beliau percaya, kerajaan dari semasa ke semasa akan memastikan bahawa segala permasalahan dan permintaan ini diteliti sesuai dengan isu semasa serta diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara.

Menurutnya lagi, PADU meletakkan harapan tinggi dan yakin kepada pihak pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa akan mencari titik noktah terhadap isu doktor kontrak dan beberapa isu yang wujud dalam sector kesihatan ini.

Hakikatnya, beliau berkata, isu ini tidak boleh diselesaikan secara sendirian oleh KKM, sebaliknya memerlukan penyelesaian secara integrasi membabitkan semua kementerian berkaitan lain.