[VIDEO] Jual air buah RM1 sepanjang Ramadan

Hamizon (kanan) dan anak perempuannya menunjukkan air buah yang dijual dengan harga RM1 sebungkus di gerai mereka di Kok Lanas, Kota Bharu.
Hamizon (kanan) dan anak perempuannya menunjukkan air buah yang dijual dengan harga RM1 sebungkus di gerai mereka di Kok Lanas, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Meskipun berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah, seorang peniaga dari Kok Lanas di sini tampil berani dengan menjual pelbagai jenis air buah dengan harga RM1 sebungkus sepanjang Ramadan.

Hamizon Ismail, 47, berkata, walaupun hanya memperoleh untung kecil namun dia tetap gembira dapat menawarkan pilihan air seperti kelapa, tembikai, mangga dan teh bunga kekwa kepada pelanggan.

"Setiap hari saya perlu menjawab soalan sama daripada pelanggan kerana mereka sentiasa mempersoalkan tentang keuntungan.

"Alhamdulillah, siapa yang hendak berniaga kalau rugi," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di gerainya yang terletak bersebelahan sebuah restoran makanan segera.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, setiap hari dia berjaya menjual lebih 100 bungkus air buah.

Ujarnya, cuaca panas kebelakangan ini menyebabkan permintaan terhadap minuman sejuk untuk berbuka puasa sangat tinggi.

Hamizon memberitahu, rata-rata pelanggannya terdiri daripada pelajar institut pengajian awam dan penduduk setempat.

"Ini merupakan kali pertama saya cuba berniaga air buah dengan harga RM1.

"Sebelum ini jika bukan bulan Ramadan saya berniaga ais cendol pulut tapai dan kuetiau goreng," katanya.

Menurut isteri kepada pesara tentera itu, selain mencari rezeki dia berniat untuk bersedekah bagi merebut pahala berlipat ganda sepanjang Ramadan.