Guru rugi RM250,000 diperdaya Macau Scam

Gambar hiasan- Gambar kecil: Beng Yeow
Gambar hiasan- Gambar kecil: Beng Yeow
A
A
A

KULAI - Seorang guru kerugian RM250,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai insurans dan polis, pada Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, wanita berusia 51 tahun itu telah dihubungi oleh individu yang menyamar sebagai pegawai insurans berhubung tuntutan perubatan sejumlah RM68,000.

"Mangsa menafikan perkara tersebut dan ingin membuat laporan polis kerana maklumat dirinya telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Bagaimanapun, semasa panggilan tersebut mangsa telah disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis dan bercakap dengan penolong pegawai penyiasat untuk membuat membuat laporan polis.

"Pegawai penyiasat tersebut memberitahu mangsa mempunyai kes berkaitan penggubahan wang haram dan dadah serta perlu membuat rayuan kepada pendakwa raya," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beng Yeow berkata, mangsa dikehendaki memberikan maklumat akaun serta perlu memindahkan wang di dalam akaun bank miliknya.

"Mangsa diberikan ikat jamin oleh pegawai penyiasat kes namun perlu membayar wang sebanyak RM268,000. Mangsa kemudiannya bertindak membuat pinjaman sebanyak RM250,000.

"Mangsa diberitahu wang tersebut akan dikembalikan setelah kes selesai. Pada Jumaat lalu, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas bertindak menghubungi pihak bank untuk menyemak baki akaun, di mana tinggal RM140 sahaja," ujarnya.

Beliau memberitahu mangsa bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada kira-kira jam 11.27 pada Sabtu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan panggilan dan mesej palsu daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai bank, pegawai polis atau agensi penguatkuasaan.

"Segala urusan bank hendaklah dibuat di kaunter bank dan bukan melalui atas talian," katanya.