Remaja maut motosikal terbabas elak lori buat pusingan U

Lokasi kejadian seorang pelajar yang menunggang motosikal maut ketika mengelak lori yang membuat pusingan U di KM 17, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang pada Sabtu
Lokasi kejadian seorang pelajar yang menunggang motosikal maut ketika mengelak lori yang membuat pusingan U di KM 17, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang pada Sabtu
A
A
A

MARANG - Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika mengelak sebuah lori yang membuat pusingan U di Kilometer (KM) 17, Jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang, di sini pada Sabtu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.50 tengah hari itu menyebabkan mangsa, Muhammad Solihin Mustaqim Shamsul Azmi maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Mohd Zain Mat Dris berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuala Berang.

"Apabila tiba di lokasi kejadian iaitu di kawasan pusingan U berhadapan Masjid Binjai Rendah, lori yang datang dari arah Kuala Berang menghala ke Kuala Terengganu membuat pusingan U di tempat yang dikhaskan untuk berpatah balik ke arah Kuala Berang.

"Dalam jarak yang terlalu dekat remaja berkenaan cuba mengelak lalu terbabas," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Katanya, akibat kemalangan itu mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah sementara pemandu lori, Wan Ngah Sulaiman, 70, tidak mengalami kecederaan.

Ujar beliau, mangsa yang beralamat di Kampung Merbau Patah di Kuala Terengganu merupakan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujar beliau.