Sempat beli baju raya untuk anak sebelum maut kemalangan

Saiful Azmi (kiri) dan Sailulhayati (kanan) maut, manakala Amar Rizqi (tengah) parah dalam kemalangan Kilometer 41.02 Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik, pada Jumaat.
Saiful Azmi (kiri) dan Sailulhayati (kanan) maut, manakala Amar Rizqi (tengah) parah dalam kemalangan Kilometer 41.02 Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik, pada Jumaat.
A
A
A

BALING - Seorang wanita sempat membeli baju raya baharu untuk anak tunggalnya sebelum maut selepas van yang dinaiki bersama suami terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 41.02 Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik, pada Jumaat.

Dalam kejadian lebih kurang jam 10.15 malam, sepasang suami isteri yang maut dikenali sebagai Saiful Azmi Mohd Razali, 35, dan Sailulhayati Mat Isa, 36, manakala anak mereka yang cedera masih dirawat di Hospital Kulim.

Sepupu mangsa, Noraida Che Hasan, 42, berkata, dia yang rapat dengan arwah Sailulhayati sejak dari kecil ada menemani wanita itu membeli baju raya di Pekan Baling.

"Arwah Sailulhayati yang mesra dengan panggilan Mak Su mencari baju berwarna hitam untuk anak lelakinya, Amar Rizqi, 2, dan sempat membelinya.

"Saya meluangkan masa keluar bersama arwah sepupu dari jam 3.30 hingga 6.30 petang semalam. Itulah, kali terakhir kami keluar bersama-sama," katanya pada Sabtu.

Disebabkan itu, Noraida memberitahu, dia amat terkejut apabila dimaklumkan penduduk kampung bahawa tiga beranak itu terlibat dalam kemalangan.

"Saya tidak menyangka kerana mereka keluar dari rumah kira-kira jam 9 malam selepas selesai berbuka puasa di rumah pusaka ibu bapa arwah untuk pulang ke Sungai Karangan.

Bagaimanapun, Noraida memberitahu, mereka reda dengan apa yang berlaku apatah lagi kemalangan itu berlaku ketika bulan Ramadan.

"Ketika ini, kami berharap anak tunggal mereka akan sembuh dalam kadar segera,"katanya.

Noraida memberitahu, arwah sepupunya yang turut berniaga air tebu ketika bulan Ramadan ini di Karangan, Kulim merupakan seorang yang sangat baik.

Jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Huda, Kampung Hangus, Kupang, selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Daerah Kulim.

Sebelum ini, media melaporkan berlaku kemalangan melibatkan sebuah van dengan pacuan empat roda hingga mengorbankan dua nyawa, manakala anak mereka mengalami kecederaan parah selepas melecur tangan sebelah kiri dan cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian jam 10.15 malam itu, van jenis Nissan yang dinaiki pasangan suami isteri tersebut sedang bergerak dari arah Baling menghala ke Kulim.

Shamsudin berkata, setiba di lokasi kejadian pemandu van dipercayai telah hilang kawalan lalu terlanggar tembok jambatan di sebelah kiri jalan sehingga mengakibatkan kenderaan itu berpusing.