91 sindiket dadah masuk 'jerat'

Antara aset sindiket dadah yang disita menerusi serbuan di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Antara aset sindiket dadah yang disita menerusi serbuan di Pulau Pinang, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan 91 sindiket pengedaran dadah menerusi pelbagai siri serbuan di seluruh negara bagi tempoh tiga bulan sejak Januari lalu.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM berkata, seramai 256 ahli sindiket termasuk tiga ahli kimia berjaya diberkas.

Menurutnya, operasi ini turut berjaya membongkar tiga buah makmal dadah haram.

"Bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket bernilai RM23.67 juta telah disita manakala sebanyak RM1.89 juta nilai harta telah dilucuthak.

"Terdapat dua kes menarik dalam tempoh tersebut iaitu pada 28 Mac, tangkapan ke atas dua individu di sekitar Petaling Jaya, Selangor serta merampas 298.49 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang bernilai RM10.7 juta.

"Kemudian pada 30 Mac pula tangkapan terhadap enam individu di sekitar Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang dengan rampasan 183.6kg dadah jenis syabu bernilai RM6.1 juta," katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi JSJN pada Sabtu.

Dalam pada itu, JSJN memaklumkan, dalam tempoh tiga bulan itu telah berjaya menahan seramai 50,109 orang di bawah pelbagai kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

Katanya, daripada jumlah tersebut seramai 90 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Jelas JSJN lagi, pihaknya berjaya merampas sebanyak 7,538kg pelbagai jenis dadah dan 1,013 liter pelbagai jenis cecair dadah.

"JSJN juga telah berjaya merampas sebanyak 24,760kg daun ketum dan 18,049 liter air ketum serta dua batang pokok ganja yang membawa nilai rampasan adalah sebanyak RM199.5 juta," ujarnya.

JSJN merampas dadah jenis syabu bernilai RM10.7 juta dalam serbuan di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
JSJN merampas dadah jenis syabu bernilai RM10.7 juta dalam serbuan di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Tambah kenyataan itu, selain itu, seramai 2,135 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

"Daripada jumlah tersebut seramai 1,189 individu telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen yang sama," katanya.

Jelasnya, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 20,204 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah tersebut sebanyak 17,807 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 88.14 peratus.

Mengulas mengenai tindakan ke atas penjawat awam, JSJN berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Seramai 156 orang penjawat awam telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah di mana empat daripadanya ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB LLPK 1985," katanya.

Justeru, JSJN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah untuk salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!