Pengecualian cecair, gel nikotin berpotensi hadapi pelbagai masalah

Keputusan kerajaan untuk mengeluarkan cecair atau gel nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 adalah langkah yang terkebelakang. Gambar kecil: Azrul
Keputusan kerajaan untuk mengeluarkan cecair atau gel nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 adalah langkah yang terkebelakang. Gambar kecil: Azrul
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk mengeluarkan cecair atau gel nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 adalah langkah yang terkebelakang dan mengejutkan ramai pekerja kesihatan awam terutamanya dalam kawalan tembakau.

Ketua Eksekutif Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen, Azrul Mohd Khalib berkata, perkara tersebut berpotensi membuka pintu kepada masalah sedia ada dan baharu yang tidak dapat dikendalikan oleh sistem penjagaan kesihatan dan perundangan semasa.

Menurutnya, pengambilan vape nikotin akan meningkatkan risiko seseorang mengalami gula dalam darah yang tinggi.

Jelas beliau, penghisap rokok elektronik berisiko sebanyak 22 peratus untuk mengembangkan pradiabetes berbanding mereka yang tidak mengambilnya.

"Menggalakkan vape akan meningkatkan bilangan orang yang menghidap diabetes dan meningkatkan kos sistem penjagaan kesihatan.

"Hasil yang diperoleh daripada mengenakan cukai ke atas vape keluaran tempatan dan import akan dihabiskan oleh kos rawatan penyakit yang timbul. Kos langsung rawatan diabetes di Malaysia dianggarkan sebanyak RM 4.38 bilion setahun malahan nilai keseluruhan industri vape Malaysia dianggarkan RM2 bilion," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Azrul, perintah itu adalah bertentangan dengan nasihat Lembaga Racun yang sebelum ini sebulat suara menolak cadangan tersebut.

Jelasnya, walaupun kebanyakan negara di seluruh dunia sedang menuju ke arah menyekat dan mengurangkan kelaziman merokok dan vape dalam kalangan penduduknya, namun Malaysia dilihat terdesak hanya untuk mengutip hasil cukai.

“Kementerian Kewangan dilaporkan telah meminta Kementerian Kesihatan untuk pengecualian ini untuk membolehkan e-rokok dan cecair vape atau gel yang mengandungi nikotin dikenakan cukai mulai 1 April.

“Ia bertujuan bukan sahaja menghalalkan penggunaan e-rokok dan vape nikotin, tetapi juga membenarkan industri tempatan mengeluarkan produk sedemikian, yang pada masa ini kebanyakannya diimport dari China, supaya mereka juga boleh dikenakan cukai.

"Tidak seperti kebanyakan negara, Malaysia masih tidak mempunyai perundangan khusus untuk kawalan tembakau dan vape,” katanya.

Menurutnya, bagi mengawal selia penggunaan itu, negara disaran untuk mengikuti piawaian yang dilakukan United Kingdom, Indonesia dan New Zealand di mana penduduk tidak boleh mendapatkan lebih daripada dua peratus nikotin.

“Mengapa menggugurkan nikotin daripada menjadi bahan terkawal? Ia tidak masuk akal. Malaysia berkemungkinan kehilangan kredibilitinya di pentas antarabangsa dan di Perhimpunan Kesihatan Sedunia,” ujarnya.

Jelas beliau, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, sebanyak 1.12 juta orang di negara ini menggunakan e-rokok dan 68 peratus daripadanya adalah lelaki.

Azrul berkata, sekurang-kurangnya 600,000 kanak-kanak antara berumur 11 dan 18 tahun telah menggunakan vape pakai buang yang mengandungi kepekatan tinggi nikotin sehingga lima peratus.

"Keputusan ini juga bermakna bahawa nikotin mungkin akan disalahgunakan dalam minuman, dan makanan seperti ais krim dan gula-gula kerana ia menjadi lebih mudah untuk diperolehi.

"Ia boleh dan akan membawa kepada kes keracunan nikotin,” ujarnya.

Tambah beliau, Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok yang disemak perlu dibentangkan di Parlimen secepat mungkin tanpa sebarang alasan.

Jelasnya, bukan sahaja vape perlu dikenakan cukai tetapi ia juga perlu dikawal selia dengan ketat seperti tembakau.

“Kerajaan dan ahli Parlimen mesti mencari keberanian moral untuk melangkah dan melakukan perkara yang betul. Tiada siapa yang mahu keluarga mereka ketagih nikotin, menghidap penyakit kronik seperti kanser dan kehilangan nyawa mereka sebelum waktunya.

“Suatu hari nanti kita akan melihat kembali kemudaratan dan penderitaan yang disebabkan oleh merokok dan vape seperti nyawa hilang sebelum waktunya, berbilion-bilion dibelanjakan," katanya.