Surat sumbangan RM50,000: MN Negeri Sembilan lapor SPRM

Zool Amali (dua dari kiri), Badrul Hisham (kiri) selepas membuat laporan di SPRM Negeri Sembilan pada Jumaat.
Zool Amali (dua dari kiri), Badrul Hisham (kiri) selepas membuat laporan di SPRM Negeri Sembilan pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Parti Amanah Negara (Amanah) Rembau cuba mendapatkan sumbangan RM50,000 daripada penganjur bazar Ramadan Tapak Dataran Senawang.

Pengerusi MN Seremban, Zool Amali Hussin berkata, tindakan itu menunjukkan wujudnya elemen salah guna kuasa.

"Ia seolah-olah memperlihatkan apabila kerajaan Negeri Sembilan memberikan projek, maka pihak tersebut perlu memberi sedikit imbuhan sebagai ganti.

"Ramai mempertikaikan bagaimana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak ada kaitan dengan penjaja dan perniagaan boleh dipilih mengendalikan tapak-tapak perniagaan di negeri ini sedangkan persatuan penjaja yang memenuhi syarat dan berpengalaman diketepikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selesai membuat laporan di SPRM Negeri Sembilan pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin.

Baru-baru ini tukar surat permohonan bantuan parti kawasan itu kepada sebuah NGO yang dipilih sebagai penganjur.

Surat tersebut turut menyebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi daripada Amanah, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani telah menyarankan salah satu dana yang boleh diperoleh untuk melaksanakan program parti ialah daripada penganjur bazar Ramadan yang dipilih.

Dana itu didakwa untuk kegunaan aktiviti sepanjang Ramadan, Syawal dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun Mohamad Taufek menafikan terbabit dengan pihak tertentu mewakili sebuah parti politik yang memohon dana RM50,000 daripada penganjur bazar Ramadan.