Dakwaan minta sumbangan RM50,000, PH jalankan siasatan

Aminuddin memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan sebuah parti dalam gabungan itu cuba mendapatkan sumbangan RM50,000 daripada penganjur bazar Ramadan.
Aminuddin memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan sebuah parti dalam gabungan itu cuba mendapatkan sumbangan RM50,000 daripada penganjur bazar Ramadan.
A
A
A

SEREMBAN - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan sebuah parti dalam gabungan itu cuba mendapatkan sumbangan RM50,000 daripada penganjur bazar Ramadan.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, beliau sedia maklum mengenai isu berkenaan selepas ia tular sejak Selasa di media sosial.

"Perinciannya saya belum ada lagi dan kita kena siasat dulu sebab orang lain boleh sahaja tandatangan dan buat surat (seperti surat tular)," katanya kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Sebelum ini tular surat permohonan bantuan daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Rembau kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipilih sebagai penganjur bazar Ramadan Tapak Dataran Senawang.

Surat tersebut turut menyebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi daripada Amanah, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani telah menyarankan salah satu dana yang boleh diperoleh untuk melaksanakan program parti ialah daripada penganjur bazar Ramadan yang dipilih.

Surat didakwa ditandatangani Ketua Amanah Kawasan Rembau, Dr Norwani Ahmat, namun beliau ketika dihubungi Sinar Harian enggan mengulas lanjut berkenaan perkara itu.

Sementara itu Mohamad Taufek pula menegaskan yang beliau tidak terlibat dalam penganjuran bazar tersebut termasuk dalam soal menemuduga dan pemilihan penganjur.

"Pada awalnya Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mahu serahkan urusan pemilihan penganjur bazar itu kepada pusat khidmat saya, tetapi saya menolak kerana tidak mahu timbul isu.

"Kalau saya nak untung, lebih baik pusat khidmat saya uruskan semua. Jadi penolakan saya itu jelas menunjukkan saya tiada sebarang kepentingan," katanya.

Beliau bagaimanapun memberitahu masih belum berkesempatan membaca dan meneliti isi kandungan surat tersebut.

"Saya belum tengok surat tersebut secara teliti dan perlu siasat kesahihannya. Saya juga akan buat laporan polis jika ada yang berunsur fitnah," katanya.