Peraturan vape perlu ambil kira potensi kurangkan merokok

Kerajaan digesa membangunkan peraturan yang akan mengambil kira potensi produk vape dalam membantu mengurangkan kelaziman merokok di Malaysia. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Sharifa Ezat)
Kerajaan digesa membangunkan peraturan yang akan mengambil kira potensi produk vape dalam membantu mengurangkan kelaziman merokok di Malaysia. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Sharifa Ezat)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa membangunkan peraturan yang akan mengambil kira potensi produk vape dalam membantu mengurangkan kelaziman merokok di Malaysia.

Pengerusi Persatuan Pengurangan Kemudaratan Malaysia (MSHR), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, Lembaga Racun sebelum ini telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan potensi pengecualian cecair vape atau gel yang mengandungi nikotin daripada Akta Racun 1952.

Menurutnya, ia merupakan langkah yang diperlukan untuk membolehkan peraturan diperkenalkan ke atas produk vape.

“Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa hari ini (Khamis) menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempercepat rang undang-undang tembakau untuk dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

“Ini menandakan KKM sedang mengambil langkah untuk mengawal selia produk vape, ia merupakan satu langkah ke arah yang betul.

“Situasi semasa di mana produk vape tidak dikawal, tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan dan perlu ditangani segera,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pakar Ekonomi Kesihatan dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, sementara menunggu rang undang-undang tersebut dibentangkan di Parlimen, MSHR percaya pindaan segera kepada peraturan semasa perlu dilakukan bagi membolehkan kawalan dikenakan ke atas produk vape.

“MSHR menggesa semua pihak menyokong langkah ini supaya kerajaan boleh mengambil langkah mengawal produk vape dengan segera.

“Ia bertujuan melindungi pengguna daripada bahan terlarang, mencegah potensi pencemaran daripada produk sistem terbuka dan melarang produk jatuh ke tangan golongan bawah umur,” katanya.

Beliau menjelaskan, MSHR turut menggesa kerajaan untuk membangunkan peraturan yang akan mengambil kira potensi pengurangan bahaya produk vape.

Ujarnya, pelbagai data bebas daripada penyelidikan tempatan dan antarabangsa menunjukkan bahawa vape terbukti kurang berbahaya berbanding rokok dan berkesan dalam membantu perokok berhenti merokok.

“Penyelidikan bebas ini juga telah diakui oleh kerajaan United Kingdom (UK) dan New Zealand yang menerajui agenda pengurangan bahaya tembakau.

“Oleh itu, dalam membangunkan peraturan bagi produk vape, KKM perlu mempertimbangkan potensi pengurangan bahaya bagi produk vape dan memperkenalkan peraturan yang sesuai untuk mengawal selia produk, bukannya mengkategorikannya dengan cara yang sama seperti rokok,” tambahnya.