ACATA gesa kerajaan wujudkan peraturan industri vape

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Arifin)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Arifin)
A
A
A

SHAH ALAM - Advanced Centre for Addiction Treatment Advocacy (ACATA) menggesa kerajaan memperkenalkan peraturan bagi industri vape berikutan cadangan mengecualikan cecair dan gel vape yang mengandungi nikotin daripada Akta Racun 1952 untuk mengurangkan tabiat merokok di Malaysia.

Presidennya, Dr Arifin Fii berkata, pengecualian nikotin daripada akta berkenaan mesti dipatuhi dengan kadar segera.

Beliau turut mengesyorkan kerajaan untuk meminda peraturan tembakau semasa untuk memasukkan vape.

"Peraturan mesti merangkumi strategi, pertimbangan untuk mengurangkan bahaya produk vape dan bukti tentang risiko dan faedah juga mesti dikaji.

“Mendidik perokok tentang vape adalah penting kerana mereka merupakan kumpulan berisiko yang akan mendapat manfaat daripada penggunaan produk berkenaan.

"Paling penting golongan itu menerima maklumat betul, tepat dan berasaskan bukti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini Lembaga Racun dilaporkan akan membincangkan pengecualian kawalan nikotin di bawah Akta Racun 1952 untuk membolehkan ia dikenakan cukai oleh kerajaan.

Pada masa sama, Arifin berkata, langkah itu bertujuan untuk memastikan produk tersebut tertakluk kepada kawalan ketat bukan sahaja melindungi keselamatan pengguna tetapi bagi memastikan vape hanya boleh diakses oleh orang dewasa.

Jelasnya, terdapat bukti kukuh dan boleh dipercayai untuk membuktikan bahawa vape kurang berbahaya daripada menghisap rokok dan ia juga boleh membantu perokok untuk berhenti merokok.

“Semua pihak berkepentingan perlu bekerjasama dalam membangunkan pendekatan kawal selia vape untuk pengguna supaya mereka tidak terus merokok.

“Selain itu, ia juga mampu memberi keyakinan kepada mereka (pengguna) untuk menggunakan produk tersebut kerana kurang berbahaya,” jelasnya.