China rakan dagang penting kepada Malaysia - Anwar

Anwar bercakap ketika sesi soal jawab semasa menghadiri Majlis Iftar bersama rakyat Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di China, pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar bercakap ketika sesi soal jawab semasa menghadiri Majlis Iftar bersama rakyat Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di China, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

BEIJING - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lawatannya ke China minggu ini merupakan manifestasi kepentingan negara itu kepada Malaysia dalam pelbagai aspek khususnya perdagangan.

Anwar berkata, China penting bukan sahaja sebagai jiran yang mempunyai hubungan dua hala yang erat dan rakan dagang rapat, tetapi juga kedudukannya sebagai kuasa besar ekonomi dunia pada masa ini.

"Memandangkan keutamaan itu, kita datang ke China dulu. Tetapi sebagai sebuah negara dagangan, kita perlu mengekalkan hubungan baik dengan semua, termasuk Amerika Syarikat (AS),” katanya semasa majlis berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia, di sini, malam Khamis.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009. Pada 2022 nilai perdagangan antara Malaysia dan China mencecah 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trillion.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara pada 2022 mencecah RM487.13 billion iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri yang baru tiba di sini dari Hainan petang Khamis berkata ,Kerajaan Perpaduan pimpinannya kini lebih utuh dan stabil.

Ini sekali gus membolehkan kerajaan melaksanakan dasar mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara dan menarik lebih banyak pelaburan dan dagangan asing ke Malaysia, katanya.

Sementara itu, Anwar turut menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada rakyat Malaysia yang bermastautin di China kerana menjaga nama baik Malaysia dan sentiasa patuh kepada undang-undang di sini.

Menurutnya, mereka turut memainkan peranan utama dalam menyumbang kepada hubungan erat kedua-dua negara.

"Malaysia adalah sebuah negara dagangan kecil tetapi ia diiktiraf dan dihormati oleh China," katanya.

Terdapat kira-kira 1,300 rakyat Malaysia yang mendaftar dengan pihak kedutaan kini menetap di seluruh China. - Bernama