Permohonan permit jual mercun dijangka meningkat

Muhamad Zaki bertanya khabar pengguna jalan raya ketika program mengagihkan bubur lambuk pada Khamis.
Muhamad Zaki bertanya khabar pengguna jalan raya ketika program mengagihkan bubur lambuk pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menjangkakan permohonan permit penjualan mercun dan bunga api meningkat tahun ini berikutan negara kini tidak lagi dalam kekangan pandemik Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun bagaimanapun berkata, kesemua ibu pejabat polis daerah sudah bersedia dengan kemungkinan itu.

Menurut beliau, permit untuk menjual mercun dan bunga api mungkin dikeluarkan dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Mungkin lebih ramai peniaga akan membuat permohonan menjual mercun selepas beberapa tahun musim perayaan berada dalam pandemik Covid-19," katanya selepas program mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya pada Khamis.

Pegawai polis turut membantu mengagihkan bubur lambuk pengguna jalan raya ketika program mengagihkan bubur lambuk pada Khamis.
Pegawai polis turut membantu mengagihkan bubur lambuk pengguna jalan raya ketika program mengagihkan bubur lambuk pada Khamis.

Muhamad Zaki turut memaklumkan polis akan memperketatkan operasi di sempadan bagi memantau penyeludupan terutama mercun pada musim perayaan.

"Kita baharu sahaja selesai mengadakan mesyuarat dengan pihak berkuasa Thailand dan akan ada strategi baharu yang akan diaturkan," katanya.

Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan peningkatan penyeludupan mercun namun pihaknya bersedia menghadapi situasi berkenaan.

"Setakat seminggu Ramadan belum ada kes penyeludupan mercun ke negara ini," ujarnya.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, pengagihan 150 bekas bubur lambuk daripada Maggi itu membuktikan polis masih melaksanakan program komuniti walaupun sibuk dengan tugas harian.

Katanya, mereka turut memeriahkan suasana Ramadan dan mahu pegawai serta anggota turut berasa simpati dan empati terhadap rakyat yang memerlukan.