Kerajaan Perpaduan tidak akan ditubuhkan di Johor - TPM

Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Sungai Gersik, Muar pada Khamis.
Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Sungai Gersik, Muar pada Khamis.
A
A
A

MUAR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran penubuhan Kerajaan Perpaduan sebagaimana di Melaka, tidak mungkin berlaku di negeri lain termasuk Johor.

Presiden UMNO itu menjelaskan situasi yang berlaku di Melaka ketika ini tiada kena mengena dengan situasi politik di negeri lain.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan termasuk di Johor kerana boleh menggugat kestabilan politik.

"Mengapa perlu ada kebimbangan. Sebenarnya apa yang berlaku di Melaka tidak ada kena mengena dengan situasi di negeri lain. Ini kerana suasana politik di negeri lain mungkin berbeza dengan apa yang berlaku di Melaka.

"Saya harap tiada sebarang spekulasi yang wujud sebab yang penting adalah kestabilan politik bukan sahaja di peringkat nasional tetapi kita yakin kestabilan juga perlu diwujudkan di setiap negeri.

"Apa yang penting rakyat mengharapkan kestabilan ini akan membawa pelaburan daripada luar. Kestabilan juga membawa peluang ekonomi atas dasar kepercayaan untuk peniaga secara domestik atau luar negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Sungai Gersik, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan dan Wilayah Desa berkata, Johor mempunyai acuannya tersendiri dalam melaksanakan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.

"Saya dimaklumkan di peringkat Johor, ia dilaksana menerusi kaedah negeri Johor sendiri di mana kerajaan negeri telah berikan peruntukan bersesuaian kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Ini tentunya akan memberikan optik yang baik kepada kerajaan Johor dan tentunya akan dapat beri keseimbangan antara kerajaan negeri diwakili ADUN Barisan Nasional (BN), ADUN parti gabungan lain termasuk yang tidak bersama Kerajaan Persekutuan," katanya.