Kebakaran: Kerajaan Johor tanggung kos kebumi empat beradik

Mohd Fared ( kanan) menyerahkan sumbangan MAINJ kepada bapa empat beradik yang maut, Thein Ko Htut dan ibunya Nabila (kiri) di bilik forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada Khamis.
Mohd Fared ( kanan) menyerahkan sumbangan MAINJ kepada bapa empat beradik yang maut, Thein Ko Htut dan ibunya Nabila (kiri) di bilik forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada Khamis.
A
A
A

MUAR - Kerajaan Johor akan membantu keluarga mangsa tragedi kebakaran meragut nyawa empat beradik di Kampung Sabak Awor, di sini pada malam Rabu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, antara bantuan yang diberikan ialah menanggung semua kos pengurusan jenazah dan pengebumian.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan menanggung semua keperluan ibu bapa kanak-kanak terbabit termasuk tempat tinggal, berikutan rumah sewa mereka hangus terbakar selain keperluan harian membabitkan makanan dan minuman.

"Hari ini saya sampaikan bantuan tunai Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebanyak RM3,000, Pejabat Daerah Muar RM2,000 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300.

"Kerajaan Johor turut akan menanggung semua proses pengurusan jenazah dan pengebumian empat anak syurga ini, selain menyediakan tempat tinggal sementara dan semua keperluan untuk pasangan suami isteri ini.

"MAINJ juga akan menyediakan rumah sewa baharu berhampiran Tanah Perkuburan Islam Batu 6 Bakri, lokasi empat anak syurga ini akan dikebumikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menziarahi keluarga mangsa di bilik forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail.

Pada Rabu, empat beradik berusia antara lapan hingga tiga tahun terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan dilaporkan maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, kira-kira jam 7.49 malam.

Pasangan adik-beradik yang terkorban adalah Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3 maut dalam tragedi ketika berbuka puasa itu.

Kira-kira 20 ahli keluarga turut hadir bagi memberi sokongan kepada ibu bapa malang itu.

Artikel Disyorkan