4 beradik maut: Ibu keluar cari juadah berbuka, bapa kerja

Ibu bapa kepada empat beradik maut dalam kebakaran di Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian.
Ibu bapa kepada empat beradik maut dalam kebakaran di Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar. Gambar kecil: Laporan Sinar Harian.
A
A
A

MUAR - Tragedi menyayat hati empat beradik yang ditemukan meninggal dunia dalam kebakaran di Kampung Sabar Awor, Jalan Ismail pada malam Rabu, dipercayai berlaku ketika ibu dan ayah mangsa tiada di rumah.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.49 malam, kesemua mangsa berusia antara lapan hingga tiga tahun terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan.

Menurut beliau, pasangan adik-beradik dikenali sebagai Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3 ditemui dalam bilik air di bahagian dapur.

Katanya, ketika kejadian, ibu mangsa berusia 31 tahun terpaksa keluar sebentar untuk ke kedai mencari kelengkapan berbuka puasa, manakala bapanya yang berusia 30 tahun sedang bekerja di sebuah restoran di sekitar bandar.

“Maklumat awal daripada ibu mangsa mengatakan keempat-empat anaknya ditinggalkan sementara di rumah dalam keadaan pintu bahagian dapur tidak berkunci.

“Bagaimanapun kita percaya keadaan api marak menyebabkan empat beradik ini gagal mencari jalan keluar sebelum kesemua mayat dijumpai di dalam tandas dipercayai bagi tujuan menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Raiz Mukhliz
Raiz Mukhliz

Beliau berkata, jiran mereka bertindak memberitahu ibu mangsa mengenai kejadian itu, di mana difahamkan ketika itu dia baru sahaja keluar 10 minit dari rumah.

“Kebakaran yang bermula dari bahagian dapur dipercayai berpunca akibat litar pintas, namun ia masih dalam siasatan lanjut pihak bomba.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut,” katanya.

Hadir sama dalam operasi berkenaan, Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Ahmad Izram Osman.

Sebelum itu, seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dan BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran melibatkan rumah jenis separuh kekal itu.