Peneroka hilang punca pendapatan

Jefri (kanan) bersama peneroka melihat kawasan ladang bersama peneroka yang terlibat. (Gambar kecil: Ros Asmawi, Ishak, Muryani)
Jefri (kanan) bersama peneroka melihat kawasan ladang bersama peneroka yang terlibat. (Gambar kecil: Ros Asmawi, Ishak, Muryani)
A
A
A

TUJUH tahun kerajaan menghentikan kegiatan perlombongan bauksit di Pahang, menyebabkan peneroka di Felda Bukit Goh dan Bukit Kuantan yang terlibat aktiviti itu terus tersepit.

Kehidupan mereka kini diibaratkan terumbang ambing apabila hilang punca pendapatan sejak aktiviti pengeluaran itu dihentikan sedangkan mereka bergantung rezeki dengan hasil perlombongan itu.

Menerusi Apa Khabar Rakyat minggu ini, menyelami keluh kesah peneroka yang terpaksa mencari pekerjaan lain demi survival hidup, ikuti laporan wartawan Sinar Harian, Norawazni Yusof.

Lebih 402 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Bukit Goh dikatakan berdepan kesempitan hidup sejak pengeluaran bauksit yang diusahakan di tanah mereka di tanah rancangan itu dihentikan sejak Januari 2016.

Kini ladang sawit mereka terbiar tidak terurus dan tidak menghasilkan apa-apa pengeluaran sedangkan tanah itulah punca pendapatan mereka.

Ladang-ladang terbabit tidak dapat diusahakan lagi kerana keadaan tanah yang berlubang-lubang, dengan stok bauksit yang masih ditinggalkan di kawasan ladang sekali gus terkeluar daripada skim tanam semula Felda.

Malah, terdapat peneroka yang tidak terlibat dengan bauksit juga dinafikan hak untuk tanam semula sedangkan pokok sawit milik mereka sudah melebihi 25 tahun.

Ros Asmawi (kanan) dan Muryani (kanan) mengakui terpaksa mencari kerja lain demi kelangsungan hidup
Ros Asmawi (kanan) dan Muryani (kanan) mengakui terpaksa mencari kerja lain demi kelangsungan hidup

Bagi penerokawati, Muryani Mustaffa, 53, mengakui cukup terkesan selepas perlombongan bauksit dihentikan dan hilang tempat bergantung apabila suaminya, Deraman Harun meninggal dunia akibat barah hati ketika perintah moratorium bauksit dilaksanakan.

Katanya, bagi meneruskan kelangsungan hidup, dia terpaksa melakukan pekerjaan lain memandangkan punca pendapatan sudah tiada selepas empat hektar tanah ladang miliknya dipajak untuk pengeluaran bahan tersebut.

“Pokok sawit habis ditebang, jadi saya memang tiada pendapatan, jadi terpaksa berniaga kecil-kecilan menyara hidup. Kalau tak buat kerja lain, macam mana hendak dapatkan duit.

“Kedua-dua anak masih bersekolah, kalau ada sawit bolehlah bantu mana yang patut. Hidup ini (susah) ALLAH sahaja yang tahu, namun saya perlu kuat demi anak-anak,” luahnya ketika ditemui di Felda Bukit Goh di sini pada Rabu.

Ibu kepada lima anak itu memberitahu dia tidak mampu untuk menanam sendiri pokok sawit kerana kawasan ladang perlu ditimbus lubang dan diratakan semula.

Ujarnya, kos untuk kerja-kerja tersebut menelan belanja sehingga RM60,000.

“Mana hendak saya cari duit sebanyak itu, untuk sara hidup pun sekadar cukup makan. Jadi lebih baik tanah ladang terbiar, kalau hendak minta tolong Felda, berapa lama saya perlu berhutang dengan Felda?” katanya yang sudah tujuh tahun tidak menjenguk ladang sawit miliknya.

Bagi peneroka, Ishak Arof, 70, berkata, walaupun tidak terlibat dengan bauksit, namun ladang sawitnya dinafikan hak tanam semula oleh Felda kerana bersebelahan kawasan terlibat perlombongan bahan mineral itu.

Menurutnya, pokok sawit di ladangnya telah ‘tamat tempoh’ melebihi 25 tahun dan sepatutnya boleh ditanam semula, namun ia berlaku sebaliknya.

“Dulu boleh juga ambil hasil, tapi sekarang pokok dah tua, hasil pun kurang. Setiap bulan, hasil sawit hanya dua ke tiga tan sahaja sebulan, jika tiada hasil dapatlah 20 ke 30 tandan sahaja, ” katanya.

Ishak mengakui sudah putus harapan kerana tujuh tahun menunggu perkembangan aktiviti perlombongan bahan mineral itu termasuk tanam semula sawit.

“Jika ada usaha untuk melaksanakan projek pembangunan di tanah ladang sawit di Felda ini saya setuju, apa sahaja yang kerajaan hendak buat...kalau boleh buatlah, cuma jangan ambil tanah saya sudah,” jelasnya.

Generasi kedua peneroka Bukit Goh, Ros Asmawi Abdul Latif, 42, pula terpaksa menjual kuih bagi menyara kehidupan isteri dan tiga anak yang berusia.

“Sudah lama kami hidup dalam kesusahan selepas bauksit tidak dapat diteruskan manakala sawit pula tidak dapat ditanam semula. Kalau ada pun pokok sawit yang tinggal, hasilnya tidak seberapa.

“Jadi mahu tidak mahu, saya kena cari kerja lain bagi menyara kehidupan sekeluarga,” keluhnya.

Justeru, Ros Asmawi berharap ada pihak sudi berminat bangunkan tanah tersebut sebagai salah satu usaha untuk membantu peneroka yang pernah terlibat dengan bauksit.

Gesa Felda bantu perancangan bangunkan tanah ladang sawit terbiar

Sementara itu, pengurusan Felda digesa membantu peneroka untuk membangunkan semula kawasan ladang sawit yang sudah terbiar sejak tujuh tahun lalu.

Pengerusi Pertubuhan Gagasan 2 Generasi Kuantan (G2G), Jefri Salim berkata, pihak pentadbiran ladang kelapa sawit perlu melihat dengan lebih dekat semua inisiatif dan perancangan yang ingin dilaksanakan oleh pertubuhannya bersama peneroka terbabit.

“Peneroka tidaklah salahkan Felda dalam isu ini tetapi mereka meminta supaya Felda beri bantuan agar ladang mereka dapat menjana sumber pendapatan semula dan ia tidak semestinya sawit,” katanya.

Jefri memaklumkan G2G sedang berusaha keras untuk menarik pelabur berpotensi bagi membangunkan panel solar di tanah terbabit bagi membolehkan peneroka beroleh pendapatan baharu.

Jefri
Jefri

“Setakat ini, ada syarikat yang menyatakan minat untuk membangunkan projek solar berkenaan dan syarat-syarat yang diletakkan peneroka juga sudah dipersetujui oleh mereka.

“Jadi, kita harap pihak Felda sedikit sebanyak dapat membantu projek berkenaan mendapat kelulusan pihak kerajaan agar peneroka-peneroka terjejas dapat menjana sumber pendapatan baharu,” katanya.