Rembat motosikal jemaah masjid, dua lelaki diberkas

Skrin layar hasil rakaman video yang dirakam menerusi CCTV masjid itu memaparkan kelibat suspek.
Skrin layar hasil rakaman video yang dirakam menerusi CCTV masjid itu memaparkan kelibat suspek.
A
A
A

TEMERLOH - Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan dipercayai terlibat kes mencuri motosikal Honda EX5 di dalam kawasan Masjid Sultan Ahmad dekat Kerdau di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff memberitahu, kedua-dua suspek berusia 19 dan 24 tahun diberkas bersama motosikal curi itu di kawasan rumah pekerja ladang pada hari sama.

Menurutnya, sebelum itu pihak polis menerima laporan mangsa mengenai kecurian motosikal pada jam 9.27 malam dalam kawasan masjid tersebut.

"Dalam kejadian pada jam lebih kurang 8.17 malam itu, suspek telah berjaya membawa lari motosikal berkenaan ketika jemaah lain sedang menunaikan solat.

"Rakaman video berdurasi satu minit 51 saat yang memaparkan kejadian jenayah berkenaan berjaya dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) masjid tersebut dan telah tular di media sosial.

"Berdasarkan siasatan pihak polis, pada jam 10.30 malam, Polis Bantuan Ladang Sime Darby yang bertugas di pos pengawal ladang tersebut telah melihat rakaman video kejadian yang tular di Facebook," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar Mohd Azhar, suspek yang merupakan pekerja kontrak mengutip buah di ladang berkenaan dilihat menunggang motosikal curi tersebut melalui pos pengawal polis bantuan untuk masuk ke dalam kawasan ladang berkenaan yang terletak kira-kira 21 kilometer dari tempat kejadian.

"Polis bantuan telah membuat rondaan di dalam kawasan ladang untuk mengesan suspek.

"Pada hari yang sama jam lebih kurang 11.30 malam, pasukan polis bantuan ladang telah berjaya menahan suspek yang merupakan dua lelaki bersama motosikal curi di kawasan rumah pekerja ladang itu dan diserahkan kepada pihak polis," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, hasil semakan mendapati salah seorang suspek yang ditangkap mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik.

Jelas Mohd Azhar, suspek yang ditangkap telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula Rabu sehingga Sabtu untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

"Pihak polis juga ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada Polis Bantuan Ladang Sime Darby Kerdau serta masyarakat yang sentiasa memberi komitmen dan membantu pihak polis dalam membanteras kegiatan jenayah seperti ini," kata beliau.