Zuraida tahu ikatan bon RM10 juta - Saifuddin

Dari kiri: Zuraida, Saifuddin Nasution
Dari kiri: Zuraida, Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin mengetahui bahawa ahli parti yang memenangi pilihan raya umum (PRU) bagi parti itu, perlu menandatangani bon RM10 juta.

Saifuddin berkata demikian semasa perbicaraan kes saman hari pertama yang difailkan parti itu terhadap Zuraida yang juga bekas Ahli Parlimen Ampang, di hadapan Hakim, Datuk Akhtar Tahir.

Saifuddin, 60, berkata, bon tersebut ialah untuk mengikat diri calon, sekiranya mereka meletak jawatan, bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Semasa prosiding yang diadakan secara dalam talian, Saifuddin yang juga saksi pertama PKR selaku plaintif berkata, semasa menjawat tugas Naib Presiden parti dan Ahli Biro Politik, Zuraida hadir mesyuarat Biro Politik pada 17 April 2018 yang berhubung persediaan menghadapi PRU14.

Ketika membaca pernyataan saksi, Menteri Dalam Negeri itu berkata, dalam mesyuarat tersebut, beliau memaklumkan bahawa Pejabat Setiausaha Agung menyediakan 'kit calon' mengandungi Ikatan Bon yang perlu ditandatangani semua calon sebelum menerima watikah parti.

Menurutnya, Zuraida yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku defendan, tidak pernah membangkitkan bantahan terhadap isu tersebut.

"Defendan mempersetujui terma dan syarat seperti dinyatakan dalam Ikatan Bon bagi mengawal tingkah laku setiap calon yang ingin bertanding atas tiket dan sokongan parti.

"Zuraida tidak akan dipilih sebagai ahli Parlimen dan kemudian dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang membolehkannya menikmati imbuhan lumayan tanpa dibenarkan parti menggunakan jenama, nama baik dan sokongan ahli," katanya.

Beliau berkata, semua itu tidak diberikan secara percuma, sebaliknya Zuraida dijangka membayar balik dengan menjalankan tugas sebagai seorang ahli Parlimen dan menteri atas nama PKR.

Ekoran pembelotan Zuraida katanya, PKR hilang kelebihan selaku seorang ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan menteri kabinet.

Sebaliknya, defendan bertindak kekal dalam jawatan itu dan tidak meletak jawatan, sekali gus menikmati faedah sebagai pemimpin menggunakan nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).

Perbicaraan secara dalam talian bersambung Khamis.

Pernyataan tuntutan PKR yang difailkan pada 28 September 2020 mendakwa, Zuraida telah menandatangani bon yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti jumlah itu selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Parti itu mendakwa pada atau sekitar 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan.

Bagaimanapun, beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai PN.