Melaka bakal bertukar Ketua Menteri?

Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh, Melaka.
Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh, Melaka.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Desas-desus bertiup kencang mengenai kedudukan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bakal bertukar pada Jumaat ini.

Difahamkan kedudukan Sulaiman selama dua penggal itu akan digantikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian Pembangunan Koperasi dan Usahawan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Khabar angin turut mendakwa upacara mengangkat sumpah Ketua Menteri ke-14 itu akan diadakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama di Ayer Keroh.

Pihak media juga telah menunggu selama tiga jam di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri di sini, bagaimanapun gagal mendapat sebarang pengesahan dan komen daripada Sulaiman.

Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Melaka, Nasharudin Muhamad memaklumkan ADUN Lendu itu enggan bertemu media dan telah meninggalkan bangunan pentadbiran kerajaan negeri.

Sumber terdekat pejabat Ketua Menteri, memaklumkan setakat ini tiada arahan selanjutnya dan mereka masih menunggu arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Sementara itu, Ab Rauf yang dihubungi juga enggan mengulas lanjut mengenai perubahan struktur pentadbiran negeri Melaka.

"Saya tak mahu komen lanjut sehingga ada maklumat seterusnya," katanya ringkas.

Terdahulu tular di aplikasi WhatsApp mengenai ucapan terima kasih untuk semua jasa yang telah diberikan untuk rakyat negeri Melaka kepada Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Media pada Isnin melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

Presiden UMNO itu turut mengesahkan kerajaan ketika ini menuju kepada usaha pembentukan itu.

ARTIKEL BERKAITAN:

Melaka bakal bertukar Ketua Menteri?

Ab Rauf minta sabar, tunggu pengumuman rasmi

Sulaiman letak jawatan Ketua Menteri Melaka

Tidak campur kemelut BN Melaka

Sulaiman letak jawatan: Seri Negeri jadi tumpuan media

Sulaiman hadir ke pejabat Ketua Menteri seperti biasa

Sulaiman tunjuk isyarat mohon maaf

Angkat sumpah Ketua Menteri Melaka Jumaat

Rauf calon Ketua Menteri Melaka baharu

Letak jawatan: Sulaiman perlu beri penjelasan