'Kita bersemuka isu Bersatu malam esok' - PN

Annuar
Annuar
A
A
A

SHAH ALAM – Isu membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi agenda utama pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada malam Ahad.

Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, notis kehadiran mesyuarat telah dikeluarkan kepada semua parti anggota dan wakil masing-masing.

"Elok kita bersemuka dalam mesyuarat. Elok kita bincang tanggungjawab parti anggota.

"Elok kita buat pendirian apa konsensus kita sebenarnya. Elok kita berdepan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan PN berhasrat menjemput Bersatu menghadiri mesyuarat gabungan itu dalam masa terdekat.

Perkembangan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi Putrajaya membenarkan permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), sementara menunggu penyelesaian permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan berkenaan.

Menurut Annuar, keputusan juga akan dibuat terhadap semakan kehakiman dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada mesyuarat tersebut.

"Isu semakan kehakiman dan isu pilihan raya negeri Melaka sudah tentu dibincang dan kita buat keputusan.

"'Let's hold the bull by the horn'," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pertikaian antara PN dan Bersatu tercetus selepas parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan aduan kepada RoS dengan mendakwa parti berkenaan diketepikan daripada mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

Bersatu mendakwa tindakan mengecualikan parti itu telah melanggar Fasal 7.1 Perlembagaan PN serta mempertikai kewujudan 'kuasa veto' yang mempengaruhi keputusan Majlis Tertinggi.

Berikutan aduan tersebut, RoS menggantung sementara gabungan itu selepas notis di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] bertarikh 22 September 2026 dikeluarkan. RoS memberikan tempoh yang munasabah kepada PN untuk menjawab notis berkenaan.

Bagaimanapun pada 20 Oktober lalu, RoS membatalkan pendaftaran PN selepas penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu didapati tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!