Kad ATM dicuri guna, pesara kerugian RM46,000

Suspek (kanan) dikesan menerusi rakaman CCTV sedang membuat urusan pembelian telefon bimbit berjenama di sebuah kedai menjual telefon di Kapar.
Suspek (kanan) dikesan menerusi rakaman CCTV sedang membuat urusan pembelian telefon bimbit berjenama di sebuah kedai menjual telefon di Kapar.
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang pesara kerajaan berputih mata apabila kerugian RM46,000 setelah kad ATM miliknya dipercayai digunakan pasangan suami isteri pada Isnin.

Suspek turut menggunakan kad ATM milik mangsa untuk membeli sebuah telefon bimbit berjenama.

Bagaimanapun, tindakan kedua-dua suspek itu membawa padah apabila perbuatan mereka itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kedai menjual telefon tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, siasatan dijalankan berikutan laporan polis dibuat mangsa yang merupakan pesara kerajaan berumur 62 tahun apabila kad ATM bank miliknya ditukar dan digunakan individu yang tidak dikenali.

"Siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku pada 25 Mac lalu, kira-kira jam 10 pagi apabila mangsa cuba untuk mengeluarkan wang daripada ATM di salah satu bank di Banting dan kad tersebut telah tersangkut.

"Seorang lelaki yang tidak dikenali mangsa kemudian menawarkan membantu mengeluarkan kad ATM tersebut sebelum diserahkan kepada mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, mangsa kemudiannya ke bank kira-kira jam 9.30 pagi pada Isnin sebelum mendapati wang miliknya gagal dikeluarkan.

"Mangsa kemudian merujuk masalah tersebut di kaunter bank dan mendapati kad tersebut bukanlah miliknya.

"Semakan akaun mangsa turut mendapati terdapat 23 transaksi yang digunakan melibatkan RM46,000," katanya.

Ujar Ahmad Ridhwan, siasatan polis turut mengesan satu rakaman CCTV dipercayai di sebuah premis menjual telefon di Kapar menunjukkan pasangan suami isteri dipercayai suspek terlibat sedang berurusan membeli sebuah telefon bimbit berjenama menggunakan kad ATM milik mangsa

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997," katanya.