Jika tak mampu berlari, elak gunakan lif untuk kekal cergas

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MENGIKUT Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, definisi lari ialah bergerak dengan pantas iaitu lebih cepat daripada berjalan.

Jika dirujuk kepada aspek kesukanan, lari ada bermacam-macam jenis seperti lari pecut, marathon, lari halangan dan beberapa kategori lagi.

Bagi Merak Jalanan pula larian yang selalu diamalkan ialah lari-lari anak kerana itu saja yang mampu dilakukan pada usia sebegini.

Oleh kerana ia adalah baik untuk kesihatan, maka hampir setiap hari lari-lari anak akan dilakukan pada waktu pagi.

Namun dengan kedatangan Ramadan, Merak Jalanan tidak mampu untuk berlari seperti kebiasaannya kerana akan kepenatan pada waktu tengah hari.

Disebabkan kekangan itu, Merak Jalanan akan gantikan senaman rutin itu dengan berjalan 10,000 langkah setiap hari supaya kecergasan dapat dikekalkan.

Pada masa sama, Merak Jalanan makan secara sederhana dan mengawal pengambilan air manis supaya berat badan dapat dikawal dengan baik.

Itu adalah pilihan terbaik yang ada memandangkan Merak Jalanan tidak mampu untuk berlari laju atau pun bersukan selepas tarawih seperti mana dilakukan oleh rakan-rakan yang lain.

Oleh itu, Merak Jalanan nak sarankan kepada orang ramai agar dapat memanfaatkan bulan yang ada ini untuk sentiasa mengekalkan kesihatan yang ada.

Lakukanlah walaupun dalam tempoh singkat kerana ia mungkin boleh menjadi pemangkin untuk lebih konsisten dan makin meningkat pada masa depan.

Bagi yang tidak gemar berjalan dalam jumlah langkah yang banyak, mungkin boleh lakukan larian setempat di tempat kerja.

Ataupun boleh amalkan lari-lari anak dalam beberapa minit ataupun amalan mengelakkan menggunakan lif dan mengutamakan tangga.