MPJL nafi dakwaan laluan pejalan kaki tidak diselenggara

Video tular berhubung dakwaan laluan pejalan kaki yang tidak diselenggara.
Video tular berhubung dakwaan laluan pejalan kaki yang tidak diselenggara.
A
A
A

JEMPOL - Dakwaan seorang pemilik akaun TikTok yang menyatakan laluan pejalan kaki berhampiran Stesen Keretapi Bahau terbiar dan tidak diendahkan adalah tidak tepat.

Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol (MPJL), Raja Norazli Raja Nordin berkata, lokasi terbabit menjadi kurang tumpuan dan bukan lagi laluan utama pejalan kaki selepas pemindahan Stesen Keretapi Bahau ke satu lokasi baharu yang berdekatan.

"MPJL merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan warga maya dalam menyalurkan aduan seumpama ini.

"Bagaimanapun, ia haruslah mengikuti norma adab budaya Malaysia serta menjadi contoh kepada generasi yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Isnin lalu, tular video mengenai laluan pejalan kaki yang didakwa tidak diselenggara namun apa yang dikesalkan video dimuat naik individu terbabit turut disertai dengan kata-kata tidak sopan.

Pemilik akaun media sosial itu turut menyatakan laluan itu sering digunakan oleh pelajar, warga OKU serta orang awam terbiar tanpa penyelenggaraan daripada pihak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Raja Norazli berkata, MPJL telah memohon peruntukan pada awal tahun ini kepada Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memandangkan terdapat beberapa keutamaan semasa yang harus didahului bagi memberi manfaat secara langsung kepada pengguna dan masyarakat setempat.

"Bagi tahun lalu sebanyak RM 2.913 juta telah diterima daripada Kerajaan Persekutuan manakala RM 21.340 juta diterima daripada Kerajaan Negeri Sembilan yang memberi fokus utama dalam menyelesaikan isu permasalahan rakyat secara langsung diantaranya projek berkaitan tebatan banjir, penempatan semula penjaja," katanya.

Ujarnya, selain itu, peruntukan berkenaan digunakan untuk penstabilan dan pengukuhan cerun dan projek-projek melibatkan jalan serta longkang yang sering digunakan oleh rakyat.