Dua perangkap harimau dipasang

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohamad Hafid)
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohamad Hafid)
A
A
A

KOTA BHARU - Dua perangkap harimau dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan bagi menangkap haiwan itu yang dipercayai menyerang enam lembu ternakan penduduk di Kampung Peralla, Tanah Merah, Jumaat lalu.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, perangkap itu dipasang dengan kerjasama penduduk kampung berkenaan.

“Perhilitan melakukan penilaian dan meletakkan dua perangkap di kawasan strategik yang dirasakan harimau akan pergi ke kawasan itu.

“Setakat ini, belum ada harimau yang dapat ditangkap untuk diselamatkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian lalu, seorang penternak kerugian RM15,000 apabila lembu-lembu yang diletakkan di dalam sebuah kandang di kebun getah mati dipercayai akibat diserang oleh pak belang.

Dalam pada itu, Mohamad Hafid berkata, jika berjaya ditangkap, haiwan itu akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak untuk perlindungan.

“Harimau ialah haiwan liar penting yang perlu diselamatkan kerana populasi terjejas.

“Binatang ini berjalan berkilometer dan keluar dari hutan untuk mendapatkan makanan,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkina harimau itu ialah haiwan sama yang menyerang 11 lembu penduduk di kawasan kebun getah di kampung sama dalam beberapa kejadian pada bulan lalu.